Anti virus Vipre tembusi pasaran Malaysia


Menceburi bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memang bukan suatu perkara yang mudah terutama bagi golongan usahawan muda yang baru terjun ke bidang tersebut.

Bagi syarikat bumiputera yang baru bertapak misalnya, selain faktor persaingan yang tinggi, mereka juga sering kali tidak mempunyai produk utama yang boleh diketengahkan di pasaran.

Namun, tiga anak muda berusia awal 20-an berasal dari Melaka, Mohd. Kurniawan Zakaria, Shahren Abdul Malek dan Hardiman Abdul Wahab membuktikan mereka mampu menghadapi persaingan dalam industri tersebut dengan membina kepakaran dalam bidang keselamatan siber.

Mohd. Kurniawan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Whizsolutions Hybrid Sdn. Bhd. berkata, ada setengah pihak menganggap mereka bertiga 'gila' apabila memilih untuk menumpukan usaha memasarkan produk antivirus.

''Apatah lagi memulakan perniagaan di Melaka dan bukannya di Kuala Lumpur.

''Setakat ini anak Malaysia hanya mempunyai 'kepakaran' membuat virus tetapi belum ada lagi anak tempatan cipta anti virus," katanya dalam nada berseloroh dalam satu pertemuan dengan Mega, di Putrajaya baru-baru ini.

Kurniawan berkata, pada peringkat awal, Whizsolutions bergiat aktif sebagai rakan kongsi dan pengedar produk pelbagai jenama antivirus yang sudah sedia dalam pasaran.

Berkat kesungguhan selama empat tahun, Whizsolutions yang dikemudikan tiga anak muda itu akhirnya mendapat perhatian Sunbelt Software yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Ini apabila Whizsolutions telah dilantik oleh Sunbelt Software sebagai prinsipal untuk mengedar produk anti virus keluarannya berjenama Vipre (Virus Intrusion Protection Remediation Engine).

''Memang dari segi usia kami dikira masih muda untuk bersaing dengan pelbagai syarikat pembekalan anti virus yang lain.

''Dengan pengalaman selama empat tahun akhirnya kami diberikan kepercayaan untuk menjadi syarikat prinsipal," katanya..

Kata Mohd. Kurniawan, Vipre merupakan produk antivirus yang setara dengan antivirus lain yang terkenal dan setakat ini ia dikategorikan dalam ranking pertama di www.pcantivirusreviews.com.

Vipre juga telah mendapat pengiktirafan VB100 dan memenangi hadiah utama sebagai antivirus terbaik di kalangan Komuniti IT Professional Windows di AS.

Justeru, kata beliau, pada masa ini pihaknya akan menumpukan usaha bagi meluaskan pasaran Vipre di negara ini dengan menyasarkan 100 hingga 200 rakan niaga dalam masa terdekat.

Jelasnya, langkah itu bertujuan meluaskan pasaran sistem anti virus, Vipre membabitkan segmen perniagaan dan runcit.

''Saya rasa bagi syarikat-syarikat IT bumiputera yang baru bertapak kami menawarkan satu produk yang lebih kompetitif.

''Kadang-kala syarikat IT bumiputera tidak mempunyai produk utama untuk ditonjolkan, jadi ini peluang mereka untuk meluaskan segmen pasaran mereka," katanya.

Sementara itu, Shahren yang juga Timbalan Presiden ( Jualan dan Pemasaran) Whizsolutions berkata, syarikatnya menekankan kepada pasaran industri kecil dan sederhana (IKS) agar mempunyai sistem antivirus yang mampu dimiliki bagi melindungi sistem perkomputeran dan pangkalan data mereka.

''Kami menawarkan pakej yang lebih kompetitif termasuk memberikan lesen sehingga 15 unit komputer. Ini sangat bersesuaian dengan kebanyakan perniagaan IKS yang mempunyai jumlah komputer peribadi (PC) dalam lingkungan ini, terutama dengan harga yang sangat menarik,'' katanya.

Berbeza dengan produk lain di pasaran, Shahren menjelaskan, Vipre menawarkan pengalaman penggunaan komputer yang lebih lancar meskipun ketika kerja-kerja mengimbas sedang dijalankan.

''Ini adalah kelebihan yang sangat jelas, kerana Vipre lebih ringan selain antivirus itu juga menawarkan perlindungan berintegrasi dalam e-mel berasaskan SMTP dan POP3," katanya sambil menambah versi Vipre ini menampung versi terbaru Windows 7.

Katanya, Vipre juga akan mengadakan versi yang akan disertakan dengan firewall sekali gus akan melengkapkan perlindungan Vipre ke tahap yang optimum.

Sementara itu Shahren berkata, syarikatnya menyediakan ruang untuk para usahawan mengembangkan perniagaan mereka dalam bidang berasaskan keselamatan siber.

''Setakat dua minggu pertama ini, kami telah dapat melahirkan hampir 15 rakan usahasama di Melaka dan utara Johor," katanya.

Katanya, syarikat IT yang dipilih menjadi rakan usahasama, Whizsolutions ditawarkan pakej keselamatan dan maklumat lengkap termasuk sokongan tahap awal kepada para pelanggan.

''Selain itu, dalam pakej yang sama mereka akan diberikan bimbingan berkaitan pelan pemasaran," katanya.

Whizsolutions yang sekarang beribu pejabat di Melaka boleh dihubungi di 06- 334 0396 atau boleh terus email ke channel@sunbeltsoftware.com.my

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url