Bengkel Planet Radio

Kita biasa mendengar celoteh serta keletah juruhebah radio setiap kali memandu kenderaan ataupun berada di rumah. Tetapi kita jarang mendapat pendedahan mengenai kepentingan bidang penyiaran radio serta peranan yang harus dilaksanakan oleh seseorang juruhebah.

Hari ini ramai yang menganggap kerjaya sebagai seorang deejay itu hanyalah terbuka kepada graduan-graduan di dalam bidang penyiaran dan komunikasi sahaja.

Persepsi itu sebenarnya silap kerana sesiapa sahaja boleh bergelar juruhebah asalkan mereka mempunyai minat dan bakat yang mendalam dalam bidang berkenaan.

Fungsi dan tugas seseorang di dalam bidang penyiaran sebenarnya amat luas bukan sahaja berperanan menjual suara tetapi banyak bahagian-bahagian lain di dalam sesebuah syarikat penyiaran yang wajar diketahui oleh orang ramai.

Untuk memberi pendedahan kepada kepentingan penyiaran radio, Komersial Radio Malaysia (CRM) yang menggabungkan 19 stesen radio swasta di negara ini merasakan satu program khas untuk mendedahkan orang ramai kepada bidang berkenaan perlu diwujudkan.

Maka pada pertengahan Disember lalu, CRM memperkenalkan program Planet Radio yang dihadiri oleh pelajar-pelajar pelbagai disiplin pengajian di universiti.

Menurut Pengerusi Penganjur Planet radio, Kudsia Kahar, bengkel selama sehari yang diadakan secara percuma itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada para pelajar yang mahu mengetahui fungsi bidang penyiaran.

Kata Kudsia, dalam bengkel berkenaan kira-kira 40 orang pelajar telah mendapat manfaat daripada program yang diperkenalkan itu.

"Mereka didedahkan bukan sahaja cara juruhebah mengendalikan siaran di konti sebaliknya bidang perniagaan radio termasuklah urusan pemasaran, pengiklanan dan juga promosi," katanya.

Jelas Kudsia, selama ini orang ramai hanya menganggap bidang penyiaran ini agak terhadap tetapi dalam sesebuah stesen radio itu, pelbagai jabatan diwujudkan bagi menyokong perkembangan sesebuah stesen.

Katanya, walaupun tidak menjana keuntungan melalui pengenalan program tersebut tetapi matlamat CRM adalah untuk melahirkan ramai individu yang mahir apabila mereka memilih bertugas di sesebuah stesen radio.

Malah katanya, CRM juga berhasrat memperkenalkan biasiswa kepada mana-mana individu terpilih bagi melahirkan petugas bidang penyiaran yang benar-benar terlatih.

"Pada tahun lalu mereka yang menyertai bengkel ini bukan sahaja pelajar di bidang komunikasi semata-mata sebaliknya mereka yang dalam bidang undang-undang, grafik dan psikologi," katanya.

Tambah Kudsia, pada tahun ini CRM menyasarkan lebih 100 pelajar untuk mengikuti program berkenaan yang dijadual akan diadakan selepas bulan September akan datang.

Kepada individu yang berminat untuk menambah pengetahuan terhadap bidang penyiaran radio dengan mengikuti program tersebut bolehlah menghantar maklumat peribadi masing-masing melalui e-mel kepada; shuling@macomm.com.my

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url