Bukan Salah Ibu Mengandung!
Dari Jabir r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:”Perumpamaanku dengan kamu sekelian ialah bagaikan seorang yang menyalakan api. Maka serangga-serangga berterbangan menjatuhkan diri ke dalam api itu. Padahal orang tersebut telah berusaha menghalaunya. Dan aku telah mencegah kamu semua agar tidak jatuh ke dalam api tetapi kamu meloloskan (melepaskan) diri dari tanganku.” (Muslim)
Huraian:
Rasulullah s.a.w telah ditugaskan membawa petunjuk daripada Allah S.W.T dan kita selaku umatnya hendaklah menurut segala ajaran yang telah disampaikan itu kerana itulah satu-satunya jaminan kita akan terlepas daripada azab Allah di akhirat kelak dan juga mendapat keselamatan hidup di dunia.
Sesungguhnya tiada jaminan yang lebih besar selain daripada mendapat perlindungan daripada Allah yang Maha Berkuasa.
Meskipun dikatakan bahawa manusia itu tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa namun tentu ada caranya agar kita tidak terus bergelumang dengan perkara-perkara tersebut iaitu dengan sesegera mungkin kembali kepada kebenaran dan meninggalkan kebiasaan buruk sebelumnya disertai dengan meminta keampunan dari Allah dan bertaubat.
Oleh itu setiap manusia itu wajib menggunakan akal fikirannya untuk menilai manakah yang baik dan manakah yang buruk dan sentiasa memohon hidayah daripada-Nya agar ditetapkan hati dan jiwa mereka di atas jalan kebenaran kerana hidayah itu hanya akan singgah pada hati yang sentiasa mencarinya.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia