Dayana juara Idola Kecil (IK2)

Bersaksikan 2.3 juta penonton, program pencarian bakat kanak-kanak, Idola Kecil musim kedua (IK2) menobatkan pemilik vokal lunak, Siti Amirah Dayana Mohd. Amerullah (Dayana) dipilih sebagai juara.
Ke udara menerusi TV9 dari Pusat Konvensyen Shah Alam (Shah Alam Convention Centre), IK2 menyaksikan kemunculan bakat cilik yang berpotensi besar sebagai generasi penyanyi hari depan.
Walaupun mereka masih muda, masing-masing mempunyai bakat terpendam yang hanya menanti masa untuk menerjah ruang industri muzik komersial.
Kemenangan Dayana membolehkan peserta berusia 10 tahun itu merangkul hadiah wang tunai RM10,000 sumbangan TV9 selain sijil penyertaan, pingat dan hamper.
Dalam pertandingan akhir itu, Dayana mendendangkan dua buah lagu iaitu Satu Impian dan Jika Kau Ubah Fikiran nyanyian asal Mila.
Tempat kedua pula dimenangi Muhammad Azzammuddin Lop Hisham, 12, yang memperoleh wang tunai RM5,000, sijil dan hamper, manakala Zur'Ain Abd. Rahim, 12, mendapat tempat ketiga dengan hadiah RM3,000, sijil serta hamper.
Tiga lagi peserta iaitu Mohd. Farid Mohd. Azmi, 12, Nurul Natasha Jaffri, 11, dan Muhamad Fhazrill Fesol, 11, bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing menerima RM1,000.
Hadia-hadiah disampaikan oleh Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin.
Selain hadiah berupa wang tunai dan sijil, kemunculan pucuk muda yang masih hijau itu tidak sekadar menjadi penyeri program TV semasa bersiaran.
Keluar sahaja dari kem Idola Kecil selepas ini mereka disunting untuk mengikat kontrak dengan syarikat rakaman Sony Muzik selain diserapkan dalam beberapa program TV9.
Mereka turut terlibat dalam acara turun padang TV9 dalam mendekati penonton seperti Sua Rasa, Apa Khabar Orang Kampung dan juga aktiviti-aktiviti kanak-kanak bersama Kawan 9.
Malam kemuncak IK2 diadili barisan juri profesional iaitu penyanyi Atilia, Ketua Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar dan komposer, Adnan Abu Hassan.
Acara turut dimeriahkan artis popular tanah air seperti Jaclyn Victor, Siti Saedah, Noryn Aziz, Bunkface dan peserta-peserta IK1.
- KOSMO!

