Demam denggi kini di tahap bahaya

PULAU PINANG 23 Jan. - Kes demam denggi di negara ini kini berada pada tahap sangat bahaya dan orang ramai diminta mengambil serius perkara tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebanyak 776 kes membabitkan enam kematian dilaporkan antara 17 dan 21 Januari lalu.

Tegasnya, walaupun kementerian berjaya mengurangkan lebih 10 peratus kes iaitu 41,000 dengan 88 kes kematian tahun lalu berbanding 49,000 (112 kematian) tahun sebelumnya, namun ia masih membimbangkan.

''Dari 1 hingga 21 Januari tahun lalu, sejumlah 4,213 kes dilaporkan dengan 11 kematian manakala pada tempoh yang sama tahun ini pula sebanyak 2,713 kes dengan 11 kematian.

''Bagi Pulau Pinang dalam tempoh sama pula jumlah kes dilapor mencatatkan penurunan iaitu 20 kes tahun ini berbanding 85 kes pada tahun lalu dengan tiada kematian.

''Selangor adalah negeri paling berisiko, '' katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Freshural Korean Sauna Technology di sini hari ini.

Tambahnya, berdasarkan keadaan serta jumlah kes yang dilaporkan adalah tidak mustahil kes kematian membabitkan demam denggi semakin bertambah sekiranya tiada sebarang tindakan diambil.

Sehubungan itu, Tiong Lai berkata, kementerian kini melancarkan perang habis-habisan di seluruh negara untuk memerangi denggi dan pada masa sama menggesa orang ramai memberi kerjasama bagi menjayakan usaha itu.

''Ini merupakan satu amaran penting untuk semua supaya menjaga kebersihan keadaan sekeliling termasuk di dalam rumah bagi memastikan tiada ruang untuk pembiakan nyamuk aedes di tempat berisiko," ujarnya

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url