Etiqa Takaful sasar RM5b premium
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarahnya, Datuk Aminuddin Md Desa (gambar) berkata, pihaknya akan mengukuhkan jenama Etiqa melalui kempen pemasaran yang agresif.
"Kami akan terus dengan aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan sejak dua tahun lalu ketika jenama Etiqa dilancarkan iaitu menjanjikan perkhidmatan yang mudah dan pantas kepada pelanggan dengan mengambil pendekatan 'Kemudahan Insan Asas Pengurusan Kami'," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian selepas memeterai perjanjian pelaksanaan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans (dengan Kepujian) dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diwakili Naib Canselornya, Tan Sri Nordin Kardi.
Etiqa merupakan anak syarikat Malayan Banking Bhd. (Maybank) mempunyai 20,000 ejen dengan 38 cawangan di seluruh negara.
Menurut Aminuddin, penguasaan pasaran Etiqa bertambah baik dengan segmen perniagaan baru insurans nyawa, takaful serta takaful dan am berada pada kedudukan nombor satu.
"Sumbangan daripada setiap segmen agak seimbang dan kami bukan pemain khusus malah komprehensif, oleh itu kami cuba menjadi yang terbaik untuk semua segmen," katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga akan memperkenalkan lagi antara empat hingga lima produk baru tahun ini dan dijangka produk pertamanya akan dilancarkan pada Mac ini.
Terbaru, Etiqa telah melancarkan Triple Life Protecter yang kini berada di pasaran, jelasnya.
Serentak dengan itu, ujarnya, Etiqa akan mengembangkan sayapnya ke pasaran Indonesia menerusi rancangan pembelian syarikat insurans di negara itu yang dijangka muktamad pada suku ketiga tahun ini.
"Buat masa ini, kami hanya menumpu pasaran Indonesia dan tidak meninjau negara-negara lain kerana Indonesia adalah pasaran terbesar di rantau ini dan mempunyai potensi terbaik bagi permodalan kami dalam pasaran yang sedang berkembang pesat," katanya.
Ditanya mengenai perniagaan lain di luar negara, Aminuddin berkata, operasi dan kedudukan kewangan operasi di luar negara menggalakkan dari tahun ke tahun.
Setakat ini, Etiqa telah menembusi pasaran Singapura dan Brunei Darussalam dan menjalin usahasama dengan sebuah syarikat tempatan di Pakistan.
Mengenai kerjasama dengan UUM, Aminuddin berkata, UUM dipilih sebagai rakan kongsi untuk program itu kerana universiti itu mampu menyediakan peluang dan sokongan pendidikan bermutu tinggi sekali gus menawarkan peserta nilai tambah dan sumber sebagai bantuan terhadap pelajaran mereka.
"Jenama Etiqa yang menjanjikan 'menginsankan' insurans dan takaful mendorong kami mewujudkan dan menawarkan program selama empat tahun bagi meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan profesionalisme ejen-ejen," terangnya.
- UTUSAN