Juruterbang pesawat terbunuh


SAMARAHAN 24 Jan.2010 - Sebuah pesawat ringan peribadi jenis Pelican terhempas di kawasan hutan paya gambut di Kampung Sungai Ladong dekat Simunjan hari ini, mengakibatkan juruterbangnya maut manakala penumpangnya cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Stanley Tiong, 61, maut ketika sedang dalam perjalanan ke hospital manakala rakannya, Dr. Ngu Siu Kong, 58, dirawat di Pusat Pakar Perubatan Normah (PPN) di sini dan keadaannya kini dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Supritendan Choo Yin Kok berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada penduduk kampung kira-kira pukul 9 pagi dan menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat.

Katanya, pasukan itu yang dibantu kira-kira 50 penduduk kampung bagaimanapun terpaksa memasuki jalan berpaya sejauh empat kilometer selama sejam sebelum berjaya menemui pesawat berkenaan tersangkut di atas dahan pokok ara setinggi 30 meter.

Katanya lagi, ketika ditemui, Stanley terbaring di atas tanah manakala Siu Kong yang juga doktor pakar di PPN tersangkut di dalam kokpit dengan kedua-duanya dilaporkan masih hidup.

"Namun secara tiba-tiba Siu Kong terjatuh dari pesawat berkenaan ketika usaha menyelamat sedang dilakukan.

"Mereka kemudian diterbangkan dengan dua buah pesawat Nuri ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya di sini hari ini.

Difahamkan pesawat malang itu dalam perjalanan dari Kuching ke Sibu terbang ketika cuaca mendung.

Yin Kok memberitahu, operasi mencari dan menyelamat membabitkan 18 anggota dan dua pegawai dari Balai Polis Simunjan selain Unit Udara Polis Diraja Malaysia yang menggunakan sebuah pesawat Cessna dan dua buah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ujarnya, mayat Stanley ditempatkan di rumah mayat Hospital Umum Sarawak manakala Siu Kong kini dirawat di PPN atas permintaan keluarganya.

Tambah beliau, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut manakala pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan menyiasat punca nahas berkenaan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url