Kempen melalui SMS, internet sukar dikawal - SPR

Sukar mengawal kempen maya seperti melalui telefon, internet dan SMS selepas jam 12 malam menjelang proses mengundi keesokan harinya kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada kaedah mengekangnya.

"Kita nak kawal pornografi dalam internet pun tak boleh. Jadi, dalam hal ini kempen melalui SMS, telefon dan internet macam mana kita nak sekat sebab terlalu ramai penggunanya. Ia sukar dikawal," demikian akui Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Mengenai undi pos khususnya membabitkan tentera dan polis serta keluarga masing-masing, beliau berkata, SPR meneliti perkara itu supaya prosesnya lebih telus dan saksama kepada semua pihak.

Beliau membayangkan pindaan membabitkan istilah undi pos yang dicadangkan kepada undi awal.

Sejak menjadi Pengerusi SPR setahun lalu, Aziz mendapati proses pengundian pos adil, telus dan saksama.

Namun, beliau mengakui ia 'rigid' dalam konteks kepada pengundi kerana membabitkan tiga sampul surat surat dan pengisian Borang 2 yang disalah anggap pihak tertentu sedangkan fungsinya untuk mengelakkan penipuan selain menjadi bahan bukti jika berlaku petisyen di mahkamah.

"Nampaknya Borang 2 dipersoalkan dengan mengatakan penggunaannya menyebabkan polis dan tentera yang mengundi dalam keadaan ketakutan. Ketua mereka sudah menentukan siapa perlu diundi. Sebenarnya itu hanya tuduhan dan fitnah semata-mata.

"Sekarang SPR mengkaji supaya undi pos tentera dan polis ini dipanggil undi awal dan akan dikendalikan SPR dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri. Macam mana kita melakukan undi biasa, macam itulah kita akan buat dengan undi awal.

"Maknanya tidak dibuat seperti mana sekarang yang dibuat dalam kem. Kita akan tentukan tempat yang sesuai, bebas dan telus.

"Kita juga sedang meneliti keperluan Borang 2 dan penggunaan sampul surat. Kita sedang kaji dan akan bincang dengan tentera dan polis sebelum dilaksanakan," katanya.

Aziz berkata, undi pos masih perlu bagi rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi tetapi berada di luar negara atau di perbatasan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url