Kempen miliki Proton

Tiada yang lebih menggembirakan apabila mampu memiliki kenderaan sendiri. Sudah pasti, ia lebih bermakna apabila dapat dikongsi pula bersama insan tersayang melakukan aktiviti menarik, apalagi ketika cuti hujung minggu atau bersempena cuti Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Namun, sering kali rasa teruja itu terbantut sebaik memikirkan soal kemampuan kewangan yang menjadi halangan utama. Menyedari hakikat ini berserta harapan membolehkan lebih ramai rakyat negara ini memiliki kereta nasional kebanggaan bersama, Proton Edar Sdn Bhd (Proton Edar) menawarkan kempen menarik ‘Drive for Prosperity’ yang menawarkan penjimatan yang mencecah sehingga RM10,000! Lebih menarik lagi, kempen penjimatan mulai 1 Januari sehingga 28 Februari bersempena Tahun Baru Cina itu merangkumi pelbagai model kereta Proton.

Bayangkan, kereta idaman anda seperti Proton Exora, Persona, Satria Neo, Gen2, Waja, Savvy dan yang berciri mewah seperti Perdana mampu dimiliki pada harga lebih murah di pasaran!

Tawaran menarik itu bagaimanapun berbeza mengikut model kereta. Bagi peminat Perdana dan Savvy misalnya, mereka boleh menikmati penjimatan lumayan iaitu antara RM7,000 hingga RM10,000.

Mereka yang mengidamkan kereta Satria Neo, Gen2 dan Waja pula diberi tawaran penjimatan RM1,000 hingga RM5,000. Tidak ketinggalan, kereta Exora dan Persona pula membabitkan penjimatan antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap unit.

Bagaimanapun, kempen ini tertakluk kepada syarat, termasuk tawaran kempen penjimatan ini membabitkan stok kenderaan bagi 2009 dan bergantung kepada stok ruang pameran yang masih ada.

Selain itu, pemberian baucar servis RM100 itu hanya membabitkan kereta model Persona, Satria Neo and Exora H Line saja dan tawaran ini juga cuma sah bagi stok 2010.

Perlu diingat, semua tawaran bagi kempen ini hanya membabitkan pendaftaran kenderaan yang dibuat pada atau sebelum 28 Februari ini. Ia bagaimanapun, tidak membabitkan pembelian oleh syarikat dan hanya merangkumi jualan runcit saja.

Hakikatnya, permintaan terhadap kereta nasional ini tidak pernah mengecewakan. Malah, antara model yang terus menjadi perhatian ramai sehingga kini ialah Persona.

Silap jika ada yang menuding Persona cuma gah kepada namanya semata-mata kerana ia sebenarnya memiliki banyak kelebihan yang mempesonakan. Buktinya, Proton Persona pernah dinobatkan sebagai `best model of the year' pada penganugerahan Frost & Sullivan 2008.

Sebagai anggota keluarga kepada Waja, Gen.2, Savvy dan Satria Neo, Persona yang dipadankan dengan enjin 1.6 liter Campro, dikenali kerana reka bentuk dan bahagian dalamnya yang menawan. Namun, tarikan utamanya bukanlah sekadar ciri fizikal saja kerana kehebatannya sebenarnya bersandarkan kepada aspek keselamatannya yang mesra pemandu dan penumpang.

Dari aspek teknikal, model ini ditawarkan dengan enjin 1.6-liter Campro dan ia dipadankan dengan pilihan transmisi manual atau automatik. Bagi versi automatik sistem berkenaan sudah dipertingkatkan bagi memberikan lebih penjimatan.

Jurutera Proton memprogramkan semula Unit Kawalan Transmisi (TCU) untuk gear automatik empat kelajuan jentera ini yang memberikan pemanduan lebih baik dan lancar.

Tidak hairanlah, berpandukan standard antarabangsa bagi mengukur keupayaan Persona, kereta ini mendapat markah tinggi dari segi pemanduan lancar, senyap dan getaran rendah jika dibandingkan dengan saingannya dalam kelas sama.

Sebagai tambahan kepada ciri keselamatan, Persona turut dibekalkan dengan beg udara bagi versi pertengahan dan premium, selain tali pinggang keledar pra-tegangan. Ciri keselamatan seperti ABS dan EBD hanya dipasang pada model premium.

Perubahan dan keselesaan yang ditawarkan Persona menjadikan kereta berkenaan berbaloi untuk dimiliki terutama mereka yang berkeluarga mahu pun bujang yang ramai anggota keluarganya.

Persona hadir dengan tujuh warna pilihan iaitu ungu (blueberry tea), emas (light gold), hitam (tranquillity black), perak dan merah (solid red).

Jadi, tunggu apa lagi. Miliki kehebatan Persona dan barisan kereta Proton lainnya pada harga yang sudah semestinya menarik sempena kempen penjimatan ‘Drive for Prosperity’ ini. Mereka yang mahukan maklumat lanjut, bolehlah melayari laman web Proton Edar di proton-edar.com.my

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url