Institusi raja perlu dipertahan jadi payung rakyat bernaung
Perkara dua di dalam Rukun Negara ialah kesetiaan kepada raja dan negara. Ini merupakan satu prinsip yang menjadi asas kepada kerakyatan kita. Tanpa negara atau raja maka tiadalah kita punyai tanah air.
Tanah air bukan saja tempat di mana kita bermastautin, tetapi di mana kita menaruh harapan dan sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Untuk kita rakyat Malaysia, tanpa perasaan cintakan tanah air rasanya macam menyewa rumah sahajalah.
Kesetiaan kepada raja adalah antara asas utama kerakyatan kita.
Namun sejak kebelakangan ini, ada perkara berlaku yang ada kalanya dapat dilihat sebagai cubaan untuk menimbulkan syak dan juga kemarahan terhadap institusi raja kita.
Isu perlembagaan di Perak umpamanya jelas menunjukkan ada pihak yang secara terang menghina istana dan sultan kerana tidak mendapat keputusan yang mereka mahu. Ada yang baring di jalan raya dan menyerang kereta yang membawa anggota diraja.
Mereka melakukan ini tanpa mengira kesan dan mesej yang akan disampaikan apabila ada rakyat yang sanggup berbuat demikian, apakah orang lain tidak akan lebih teruja untuk bersama menghina raja? Apa lagi yang hendak disegani orang yang mahu menghina istana?
Di dunia siber kedaulatan sultan dicerca dan dicabar. Komen atau tulisan yang jelas menghina institusi kesultanan direlakan, semuanya dengan alasan untuk mempertahankan perlembagaan atau memperkukuhkan demokrasi.
Ada juga pihak hanya mengenali raja kita apabila sesuai dengan tujuan mereka saja. Contohnya, ada yang selalu sangat meminta suruhanjaya diraja ditubuh untuk apa saja yang memberi kepentingan kepada mereka.
Kita bagaimanapun mesti juga menerima hakikat bahawa institusi raja kita tidak sepi daripada masalah dan kontroversi. Oleh kerana kedudukan mereka, segala tindakan kaum kerabat yang ramai mungkin mendapat perhatian yang lebih daripada yang lain.
Jika baik tindakan mereka sudah tentu disanjung, jika tidak akan jadi modal bualan kedai kopi dan juga cemuhan rakyat jelata. Jika ada cerita yang tidak baik, ia mungkin berupaya untuk menghakis kedudukan raja-raja di mata rakyat jelata, sedikit demi sedikit.
Kedudukan raja-raja di kalangan orang Melayu adalah amat istimewa. Kita mudah marah apabila institusi itu disentuh. Namun jika ada persoalan tentang raja-raja kita janganlah soalan disekat dan penyoal dimarahi.
Mungkin kita sendiri sudah lupa untuk menerangkan peranan raja-raja Melayu, ataupun kewujudan mereka sudah disalah tafsir rakyat. Wajib bagi kita untuk menjawab dan memperbetulkan tanggapan yang silap.
Kita perlu menjawab dengan jelas dan yakin tentang peranan yang dimainkan oleh raja-raja, dan kenapakah pentingnya kita mempunyai institusi sebegitu untuk menentukan negara, kerajaan, dan rakyat wujud di dalam keadaan aman damai.
Terlalu mudah untuk menghalang persoalan sebegitu dengan menyatakan adalah menjadi larangan untuk bertanya perkara terkandung di dalam perlembagaan berhubung hal-hal yang berhubung kepentingan Islam dan Melayu.
Jawapan begini bukan saja memberi gambaran kita tidak berupaya untuk menjelaskan perkara-perkara itu, ia juga seolah menunjukkan bahawa kita sendiri tidak yakin dengan keperluan institusi raja.
Sebaliknya, peranan institusi raja mesti diterangkan dengan sempurna supaya orang faham kenapa kita masih mengekalkannya.
Contohnya, apabila pemimpin kita yang berlainan ideologi politik bertegang leher dan sibuk membahagi dan memecah belah rakyat, raja kitalah yang menjadi orang tengah menenangkan keadaan dan membantu mencari penyelesaian.
Kita juga tidak boleh menolak terus sebarang teguran dan pendapat terhadap institusi raja kita. Tetapi rasanya rakyat Malaysia, terutama orang Melayu, akan tetap mempertahankan institusi raja negara. Kita harap institusi raja juga akan terus menjaga rakyat.
Lebih setengah abad pimpinan kita berjaya mengahwinkan sistem perlembagaan dan sistem beraja, kini, berbanding dulu, persekitaran banyak berubah. Ada baik dan ada tidaknya.
Namun begitu, walaupun sistem demokrasi telah sebati dengan hati rakyat, telah maju dan sekian lama membentuk politik negara, institusi raja perlu dikekalkan.
Institusi raja kita bukan hanya untuk memberi pingat dan pangkat, tetapi merupakan payung di mana kita mampu berkumpul di bawahnya jika kita mula rasa tersisih atau berpecah.
Raja-raja kita mengingatkan kita tentang perlakuan kita, memerhati cara pucuk pimpinan dan wakil-wakil kita bertindak di Parlimen dan dewan-dewan undangan negeri, menentukan kita kekal di jalan tengah di dalam masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama.
Wajib kita pertahankan institusi raja sebagai salah satu asas kenegaraan kita. Bukan sebab kita terpaksa, tetapi sebab kita percaya ia menjadikan negara kita lebih sempurna.
- BERITA MINGGU
?