Negara kehilangan Sultan yang tegas
Beberapa pemimpin politik yang merafak sembah takziah menyifatkan kemangkatan baginda sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan rakyat jelata.
Pada masa yang sama, mereka melahirkan keyakinan Tuanku Ibrahim Ismail yang baru dimasyhurkan sebagai Sultan Johor ke lima hari ini mampu meneruskan legasi kepimpinan baginda.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Almarhum merupakan seorang pemerintah yang berhati mulia dan terkenal dengan sikap tegas.
"Kita berharap Tuanku Ibrahim dapat mewarisi apa yang telah Almarhum lakukan dengan meneruskan aktiviti mendekati rakyat melalui aktiviti seperti Kembara Mahkota Johor.
"Melalui program sedemikian, rakyat berpeluang menatap wajah Tuanku dan dapat menyembah salam sekali gus menterjemahkan konsep raja berjiwa rakyat kerana kualiti itu sebenarnya sudah ada dalam diri baginda," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, jasa baginda bukan sahaja terpahat dalam lipatan sejarah Johor bahkan turut tercatat di peringkat nasional sewaktu menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.
"Saya mengucapkan takziah di atas pemergian baginda dan mendoakan semoga roh baginda dicucuri rahmat.
"Peranan baginda sewaktu bergelar Yang di-Pertuan Agong pada masa itu juga berjaya membantu meredakan beberapa isu, jasa baginda akan terus dikenang," katanya.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, seluruh rakyat berdukacita dengan kemangkatan seorang Sultan yang mempunyai aura dan keistimewaan tersendiri.
"Baginda ada aura khusus, malah apabila disebut Sultan Johor terbit rasa gerun dan ini menunjukkan baginda berjaya memainkan peranan sebagai seorang Sultan dengan berkesan dan rakyat pula akan mengambil berat titah baginda.
"Saya sendiri sering mendengar bagaimana mesranya baginda dengan rakyat dan apabila mereka dipanggil menghadap di istana, baginda dikatakan akan memastikan mereka menjamu selera terlebih dahulu," katanya.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, walaupun baginda telah tiada, namun jasa-jasanya kepada negara tetap akan dikenang.
"Bagi pihak UMNO Selangor, saya ucapkan takziah kepada seluruh kaum kerabat baginda, walaupun baginda bersikap tegas ia dilakukan dengan cara tersendiri dan amat mementingkan kebajikan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh kerabat diraja dan rakyat Johor.
"Takziah kepada rakyat Johor atas kemangkatan Almarhum. Semoga roh baginda dicucuri rahmat," katanya.
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, seluruh rakyat jelata khususnya rakyat Johor kehilangan seorang Sultan yang berani dan amat sangat prihatin kepada nasib rakyat.
"Baginda juga sanggup mengetepikan soal protokol dan itu menggambarkan sikap baginda sebagai seorang Sultan yang mudah didekati rakyat," katanya.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin turut merafak sembah takziah ke atas kemangkatan Almarhum.
"Almarhum pergi pada saat umat Islam khususnya berhadapan dengan kemelut dan masalah serangan terhadap agama Islam yang tidak berkesudahan, dan mengharapkan pembelaan seorang raja yang tegas dan berani," katanya.
- MINGGUAN MALAYSIA