Satu undi tentukan masa depan negara
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu, dengan 65 peratus daripada mereka adalah bumiputera.
Ingatlah, satu undi bakal mencorakkan pemerintahan negara pada masa depan.
Justeru betapa ruginya jika seseorang warganegara yang telah mencapai usia 21 tahun melepaskan peluang ini.
Pihak SPR nampaknya terpaksa akur dengan kedegilan golongan yang enggan mendaftar ini walaupun umum mengetahui bahawa pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Sepatutnya setelah 50 merdeka, kita seharusnya terus giat berusaha melipat gandakan usaha untuk memberi sumbangan dan memainkan peranan sebagai warganegara mengikut keadaan dan kebolehan masing-masing.
Umum mengakui bahawa jatuh bangunnya sesebuah negara akan bergantung sepenuhnya kepada tenaga dan kekuatan generasi muda yang dimiliki.
Sehingga akhir tahun lalu, jumlah pengundi berdaftar di negara ini adalah 11.08 juta orang, berbanding jumlah keseluruhan mereka yang berumur 21 tahun ke atas adalah 15.47 juta orang.
Generasi muda hari begitu prolifik berbicara persoalan patriotisme. Pelbagai slogan dan janji dibuat bagi mempertahankan setiap inci tanah air dari apa jua petualang dan seterusnya beriltizam bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang terus bertamadun terbilang,
Tetapi hakikatnya ramai pula yang lalai dan leka terhadap hak utama untuk menjadi warganegara yang beramanah dengan tidak menyokong kelangsungan pewaris yang ada.
Sebagai sebuah negara berdaulat serta mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan, nilai setiap undi yang diberi amat berharga sebagai mandat bagi melaksanakan segala misi dan visi pembinaan bangsa dan negara.
Selain berbangga dengan status sebagai mahasiswa, graduan yang memiliki ijazah, eksekutif muda mahupun orang kanan yang menganggotai syarikat besar dan sektor kerajaan, anak-anak muda hari ini sewajarnya perlu menyeimbangkan antara kedudukan serta nilai material yang dimiliki dengan semangat patriotik dan jati diri di samping memahami keperluan dan tuntutan yang mesti diambil sebagai warga dalam sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi.
Kita amat menyambut baik langkah SPR yang telah melancarkan Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih dengan tiga misi utamanya iaitu untuk menggalakkan lebih ramai rakyat yang berumur 21 tahun ke atas mendaftar sebagai pemilih, menggalakkan pemilih berdaftar yang berpindah membuat pertukaran alamat dan menggalakkan pemilih berdaftar membuat semakan untuk tujuan pembetulan.
Di samping itu, agensi-agensi berpengaruh seperti media elektronik dan cetak sama ada milik kerajaan dan swasta perlulah turut sama menyemarakkan usaha ke arah kesedaran tentang tanggungjawab besar ini.
Manakala ibu bapa, para pendidik dan pemimpin setempat juga perlu mengambil peranan yang sama bagi mengingatkan anak-anak muda untuk mendaftar sebagai pengundi agar kesinambungan kedaulatan dan kestabilan negara terus berkesinambungan.
Kepada seluruh generasi muda, usah berlengah lagi. Sisihkan sikap tidak ambil peduli. Bermula hari ini, setiap anak muda tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit dan keturunan yang mencecah usia 21 tahun, hadiahkan hari ulang tahun anda dengan mendaftar pemilih yang sah, kerana perjuangan anda sebagai pewaris bangsa dan negara telah bermula!
- UTUSAN