Public Bank untung RM2.52b tahun 2009


Public Bank Bhd meraih keuntungan bersih operasi sebanyak RM2.52 bilion tahun lalu, meningkat 3.3 peratus berbanding RM2.44 bilion pada 2008, di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan pasaran kewangan global.

Keuntungan sebelum cukai operasi kumpulan perbankan ketiga terbesar dari segi aset itu dalam tahun kewangan dikaji pula adalah RM3.32 bilion.

Berikutan prestasi itu, Lembaga Pengarahnya mengisytiharkan dividen tunai kasar awal kedua sebanyak 25 sen sesaham dan dividen dalam bentuk saham yang akan diagihkan daripada saham perbendaharaannya pada asas satu saham bagi setiap 68 saham yang dimiliki pemegang sahamnya.

Berdasarkan harga saham bank itu pada 31 Disember 2009, iaitu RM11.30 seunit, nilai dividen dalam bentuk saham itu adalah bersamaan dengan dividen tunai kasar 22.2 sen.

Berikutan itu, jumlah dividen kasar yang dibayar kumpulan perbankan itu bagi tahun lalu adalah 77.2 sen sesaham, membabitkan bayaran RM1.997 bilion mewakili 79.3 peratus daripada keuntungan bersihnya.

Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata kumpulan perbankan itu yakin terus mencatatkan prestasi memuaskan tahun ini susulan persekitaran ekonomi yang semakin bertambah baik.

"Kami akan meneruskan strategi pertumbuhan perniagaan organik, mengekalkan kualiti portfolio pinjaman dan meningkatkan produktiviti, selain meneruskan usaha mengukuhkan jenama Public Bank dan meningkatkan keupayaan pengurusan risiko," katanya dalam kenyataan mengumumkan keputusan kewangan kumpulan di Kuala Lumpur, semalam.

Teh berkata, keuntungan tahun lalu itu diraih hasil pertumbuhan kukuh dalam pendapatan faedah dan pembiayaan bersih sebanyak RM435 juta atau 10.2 peratus kepada RM4.71 bilion meskipun terdapat kesan negatif ke atas margin faedah bersih berikutan pengurangan dalam Kadar Dasar Semalaman sebanyak tiga kali antara November 2008 dan Februari 2009.

Katanya, pertumbuhan itu, khususnya dipacu oleh pertumbuhan pinjaman iaitu 14.4 peratus dan pertumbuhan deposit pelanggan teras sebanyak 14.8 peratus, manakala nisbah hutang tidak berbayar (NPL) bersih kumpulan perbankan itu terus kekal di bawah satu peratus.

Beliau berkata, jumlah aset Public Bank pada 31 Disember lalu adalah RM217.1 bilion, meningkat 10.7 peratus daripada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek, pada sidang media, berkata kumpulan itu mensasarkan pertumbuhan pinjaman antara 14 dan 15 peratus tahun ini daripada kedua-dua operasi domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata, pertumbuhan pinjaman domestik akan disokong persekitaran ekonomi yang bertambah baik, kadar faedah rendah dan peningkatan semula jumlah pelanggan bank itu.

Tahun lalu, jumlah pinjaman Public Bank berkembang 14.4 peratus atau RM17.3 bilion kepada RM137.6 bilion.

Tay berkata, dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, bank itu menjangkakan operasi luar negara mampu menyumbangkan kira-kira 15 peratus kepada keuntungan bersih kumpulan berbanding 7.2 peratus ketika ini.

Katanya, ini susulan rancangan kumpulan mengembangkan rangkaian cawangan luar negaranya secara agresif tahun ini.

"Kami merancang membuka dua lagi cawangan di Hong Kong, menjadikannya 74, lima lagi di Kemboja sebagai penambahan kepada 15 sedia ada, dua di Vietnam menjadikannya sembilan, dan setiap satu di Shenzhen, China dan Laos," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url