AF tapak semaian seni

ASSALAMUALAIKUM! Paknil awal-awal lagi nak ucapkan tahniah buat Norman KRU kerana dilantik menjadi Pengetua Akademi Fantasia (AF) ke-8. Sememangnya ada ketepatan dalam tekaan sesetengah media. Pelbagai nama yang timbul ketika media membuat spekulasi dan antaranya nama Paknil sendiri, Kak Nita, Ramly MS dan Datuk Siti Nurhaliza.

Seronok pula melihat pihak media bermain teka-teki sebab ini semuanya turut menyumbang kepada kerancakan menjelang AF8. Bagaikan kemestian pula bila tiba musim AF baru, ramai membuat tekaan personaliti yang menduduki kerusi utama ini.

Paknil tersenyum juga bila ada yang menjangkakan Paknil sebagai pengetua. Terima kasihlah atas pandangan tinggi anda sehingga merasakan bahawa Paknil turut layak untuk memikul tugas sebesar itu.

Kalau diikutkan, spekulasi ini muncul sejak dua musim lalu, selepas Paknil meninggalkan jawatan pengacara lagi. Bila Paknil fikir balik, bagaimana agaknya jika benar-benar Paknil menerajui AF?

Mungkin akan timbul cakap-cakap belakang yang akan mempertikaikan kemampuan Paknil tetapi percayalah bahawa tugas pengetua sebenarnya melampaui kemampuan dalam bidang muzik. Sebenarnya AF ini bagai tapak semaian untuk benih-benih yang berpotensi dalam bidang hiburan. Mereka akan dipersiapkan dengan pelbagai ilmu termasuk untuk bertahan lama. Cukup-cukuplah dengan gelaran ‘mi segera’ yang ramai orang lontarkan kepada bintang AF sebelum ini.

Dalam setiap pertanyaan media dan temubual, Paknil memberitahu sentiasa bersedia untuk diberikan apa saja tanggungjawab selain pengacara AF. Bukan tidak mahu kembali mengacarakannya tetapi Paknil percaya jika ruang ini terus dibuka, maka tidak mustahil jika ia dapat melahirkan pengacara yang berkaliber dan lebih hebat daripada sebelumnya.

Cinta Paknil pada AF tak pernah pudar dan kerana ingin lihat AF ini ada anjakanlah, maka Paknil mengundurkan diri dan sekali gus membuka ruang kepada pengacara lain.

Walau tidak lagi mengacara, Paknil rasakan masih boleh menyumbang untuk kebaikan AF, termasuk menjadi pengetua, tenaga pengajar atau di belakang tabir sekalipun.

Sering juga Sarimah yang tidak pernah rasa jemu menanyakan tip-tip dan berkongsi cerita ketika dia mengacarakan Diari AF musim 6 dan 7. Paknil rasa sangat dihargai bila ada yang merujuk kepada Paknil dalam hal ini sedangkan bagi Paknil mereka mempunyai merit tersendiri dalam kerjaya mereka.

Bila nama Paknil disebut-sebut untuk kembali sebagai pengacara AF, Paknil secara terus-terang katakan yang perkara itu agak sukar berlaku. Biasalah, orang kita suka main teka-teki dan jawapan Paknil itu juga dianggap jawapan berteka-teki lebih-lebih lagi dengan konsep AF yang sering mengutarakan kejutan

Kini sudah terjawab yang Sarimah dan Jimmy Shanley yang akan mengemudikan Diari dan Konsert AF kali ini. Tahniah!

Kombinasi mereka bakal meletakkan AF pada liga yang berbeza. Paknil sudah dapat bayangkan kemeriahan mereka dalam melakukan tugas kerana pasti tidak akan putus idea. Apabila dua idea bertembung dan dapat diadun dengan baik, mereka pasti akan menjadi sebutan.

Bila Paknil melihat Jimmy, teringat pula apabila Paknil mula-mula diberi kepercayaan mengacarakan siaran langsung di TV. Anugerah Juara Lagu menjadi platform terbesar buat Paknil ketika itu. Kini apabila Jimmy pula akan mengendalikan konsert AF, Paknil juga percaya ini adalah satu kesempatan yang tidak seharusnya dipersiakan.

Kata-kata yang mempertikaikan kemampuan kita itulah yang kita tukarkan menjadi tenaga yang mendorong untuk lebih bersemangat. Lebih hebat lagi bila kemampuan kita dibandingkan pula dengan pengacara terdahulu. Pesan Paknil, jadi diri sendiri sebab Sarimah dan Jimmy sememangnya mempunyai kualiti tersendiri.

Akan adakah lagi fenomena ‘demam’ pada Akademi Fantasia musim ini? Itulah persoalan yang rata-rata orang tanyakan pada Paknil. Demam yang paling ketara dalam musim AF yang lalu adalah ketika Mawi pelajarnya. Sana-sini orang bercakap pasal Mawi dalam AF3. Sana-sini juga orang ramai berhabisan wang untuk memastikan Mawi menjadi juara.
Bagi Paknil, demam ini adalah sesuatu yang berlaku secara semula jadi dan tidak boleh dicipta atau dibuat-buat. Sehingga rancangan ini menjadi tontonan ramai, maka agak sukar untuk menjawab soalan itu. Tiada siapa tahu apa yang bakal berlaku dan siapa yang bakal menonjol tetapi kemungkinan untuk berlaku itu tidak harus ditolak.

Manalah tahu 'kut-kut' gelombang yang lebih besar bakal melanda berbanding gelombang 'TSUMAWI' lima tahun lalu.

Bercakap mengenai Mawi, teringat pula pertemuan Paknil dengan Mawi, Rabu lalu ketika prebiu filem Magika yang turut kami bintangi. Kasihan pula Paknil lihat Mawi yang hadir tayangan berseorangan tanpa ditemani Ekin, isteri kesayangannya.

Paknil rasa ini semua adalah kesan daripada asakan dan desakan peminatnya yang kononnya muak apabila mereka sering muncul bersama dan sedondon di khalayak. Dalam hati Paknil terus terbit simpati kepada kedudukan Mawi yang sejak dari dalam AF Paknil lihat seolah terpaksa akur dengan kehendak peminat yang mengundinya.

Ketika di AF, pengundinya bagai menatang Mawi dan kami di pihak penerbitan juga seolah dihalang daripada melakukan apa-apa gimik yang bakal menggugat kedudukan Mawi.

Penyokong Mawi bersatu padu menghantarkan undian kepada Mawi sehingga mengangkat idola baru mereka ini sebagai Juara AF3. Kesan sokongan padu yang berlarutan selepas AF, Mawi dilihat terus kebal sebagai Raja SMS kerana peminatnya akan berhabisan untuk memastikan Mawi terus dinobatkan sebagai pemenang.

Namun dalam keghairahan peminat menjulang Mawi, rupa-rupanya ada banyak ‘hutang’ dan harga yang Mawi perlu bayar kepada peminatnya. Mawi diawasi sebegitu rupa sehinggakan banyak keputusan yang ingin Mawi lakukan terpaksa berlandaskan reaksi peminatnya terlebih dulu.

Dengan siapa Mawi berkawan, pakaian apa yang Mawi sarung, lagu apa yang Mawi nyanyi dan dengan siapa Mawi bergambar juga turut diselia peminat. Paknil ingatkan selepas lima tahun berlalu dan setelah Mawi berumahtangga, Mawi kini sudah mempunyai autonominya tersendiri terutama dalam menguruskan kerjaya dan hal peribadi.

Rupa-rupanya peminat Mawi masih mempunyai pengaruh yang kuat pada diri Mawi. Ketika Mawi sering membawa isterinya ke majlis dan di khalayak, rupanya ada peminatnya kurang senang. Atas dasar apa kehadiran Ekin itu kurang disenangi pun Paknil tak pasti.

Mungkin kerana terlalu didesak dan atas dasar untuk tidak memanjangkan isu ini, akhirnya Mawi akur permintaan peminatnya dan kini Ekin tidak lagi kelihatan di sisi Mawi. Paknil yakin Mawi terpaksa korbankan kehendak hatinya sendiri semata-mata untuk memuaskan hati sesetengah pihak.

Paknil kurang pasti sama ada peminat Mawi yang mendesak sedemikian kini sudah kembali tenang dan berpuashati setelah desakan mereka menjadi. Adakah mereka senang melihat Mawi keseorangan kini sedangkan pada hakikatnya mereka tahu yang Mawi sudah berkahwin? Setahu Paknil, sifat manusia yang ‘posesif’ akan menjadi lebih ‘posesif’ jika permintaan awal mereka dipenuhi. Mereka akan memastikan keinginan mereka akan terus dipenuhi. Adakah ini bermakna teori ‘pemilikan’ Mawi akan berterusan dan tidak akan selesai sampai bila-bila? Lima tahun berlalu, masih belum habiskan bayaran Mawi kepada peminatnya? Berapa lamakah lagi Mawi perlu diikat dengan ‘kontrak’ yang sememangnya tidak pernah wujud ini? Pesan Paknil, cukup-cukuplah kita memegang tengkuk Mawi hanya berdasarkan sokongan undian yang pernah kita berikan dulu padanya. Sejak awal lagi, Mawi tidak memaksa sesiapa pun untuk mengundinya dan menatangnya. Jadi secara logiknya, Mawi tidak berhutang dengan sesiapa pun. Setiap wang yang dilaburkan pada kerjaya Mawi adalah atas kerelaan kita sendiri dan teori ‘pemilikan’ Mawi memang tidak sepatutnya wujud.

Jika kini ada undi untuk menjatuhkan Mawi, Paknil tertanya sama ada mereka yang pernah menaikkan Mawi ini akan berpaling tadah dan mengundi untuk menjatuhkan Mawi pula? Wassalam.

- METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url