Natrah - Bukan sekadar biografi biasa

Membaca naskhah nukilan Fatini Yaacob ini akan membawa pembaca menyusuri pelbagai detik peristiwa manis dan pahit dari era sebelum Perang Dunia Kedua sehinggalah watak utamanya, Huberdina Maria Hertogh @ Bertha yang lebih dikenali sebagai Natrah meninggal dunia pada 8 Julai 2009.

Naskhah setebal 457 muka surat tidak termasuk muka surat untuk bibliografi dan indeks itu benar-benar meruntun jiwa sesiapa sahaja yang membacanya. Banyak fakta-fakta benar yang tidak diketahui sebelum ini dirungkai dengan tepat menerusi bukti daripada hasil wawancara, gambar dan dokumen dari fail polis yang berjaya dibongkar oleh Fatini.

Ia nyata sebuah kisah yang penuh dengan kesedihan dan penderitaan akibat daripada putusnya kasih sayang antara anak dan ibu angkat serta isteri dan suami yang menjadi mangsa permainan politik kotor bangsa penjajah.

Apa yang jelas, naskhah ini membutirkan secara terperinci tentang niat sebenar bangsa penjajah yang lebih menjurus kepada perjuangan mempertahankan agama Kristian. Kemenangan membawa pulang Natrah ke Belanda hakikatnya adalah kemenangan agama Kristian bagi bangsa penjajah tersebut. Justeru, tidak hairanlah umat Islam di Tanah Melayu ketika itu sanggup bersatu hati walaupun berbeza ideologi politik demi mempertahankan agama Islam.

Namun, kuasa penjajah yang memiliki undang-undang dalam menentukan keputusan yang memihak kepada ibu bapa kandung Natrah mengatasi segala pengorbanan darah dan nyawa serta perpaduan umat Melayu ketika itu.

Rusuhan yang mengorbankan ratusan nyawa tidak dihiraukan oleh penjajah yang nekad membawa ‘lari’ Natrah ke Belanda.

Kisah sedih dan kesengsaraan hidup Natrah bermula sebaik sahaja dia ditempatkan di gereja Roman Katolik, ‘Convent of the Good Shepherd’, Singapura sementara menunggu masa rayuan perbicaraan dibuat pada 11 Disember 1950. Penderitaan hidup Natrah berterusan apabila Mahkamah Tinggi Singapura membuat keputusan yang memihak kepada ibu bapa kandung Natrah yang kemudian membawanya balik ke Belanda pada 15 Disember 1950.

Paparan keratan akhbar mengenai kehidupan baru Natrah di Belanda yang diselitkan di dalam naskhah ini seolah-olah menggambarkan hidup gadis manis itu bahagia di samping keluarga. Namun, hakikat sebenar adalah sebaliknya. Dalam akhbar De Telegraaf keluaran 17 Januari 1959, Natrah buat pertama kali menceritakan keadaan dirinya yang sebenar ketika itu. Katanya: “Saya tidak pernah, walaupun sehari berasa seperti berada di rumah sendiri ketika tinggal dengan mereka (ibu bapa kandung). Saya lebih suka ke sekolah ataupun dilayani oleh rahib.

“Di rumah, saya mesti membasuh kain dengan air yang sangat sejuk, sehingga tangan saya bengkak dan berdarah. Saya tidak dibenarkan menggunakan air panas – nanti lebih bayaran bil bulanan.”

Natrah turut mendakwa kakak-kakak kandungnya kerap membulinya dan bagaimana ibunya menemui dan mengoyak surat rahsia yang mahu dikirimnya kepada Mansor Adabi, lelaki yang dicintai dan suaminya. Dalam temu bual yang diadakan itu, beliau mendakwa hidupnya tidak bahagia dan seronok tinggal bersama keluarga sendiri di Bergen op Zoom, Belanda.

Dalam pada itu, segala usaha untuk membawa balik Natrah ke Tanah Melayu gagal, lebih-lebih lagi apabila ada pihak tertentu mengirimkan surat palsu kepada Mansor yang mana salah satu daripada surat itu benar-benar menghancurkan hati Mansor sehingga mendorongnya memfasakhkan Natrah. Isi kandungan daripada beberapa surat yang ditulis oleh Mansor, Natrah dan Johannes Gerardus Vermeulen iaitu insan berhati mulia yang sanggup berkorban untuk mempertemukan semula Natrah dan Mansor turut dipaparkan di dalam naskhah ini.

Naskhah ini turut menghuraikan panjang lebar tentang perjalanan kes Natrah di mahkamah, rusuhan yang berlaku sehingga mengorbankan ratusan nyawa, umat Melayu dan Islam yang sanggup berkorban masa, tenaga, wang dan harta dari seluruh Tanah Melayu untuk membantu ibu angkat Natrah, Che Aminah memenangi kes tersebut, kegagalan Yang Di-Pertua UMNO ketika itu, Dato’ Onn Jaafar menangani kes Natrah dengan bijak sehingga membawa kepada kejatuhannya dan kehidupan Natrah di Belanda dan Amerika Syarikat (AS).

Selain Mansor, Natrah juga berkahwin dengan suami keduanya, Johan Gerardus Wolkenfelt yang menghasilkan 10 orang anak; suami ketiga, Tom Ballermans dan suami keempat, Ben Pichel. Kesemua perkahwinan itu berakhir dengan perceraian. Lebih teruk, kehidupan Natrah sentiasa dirundung malang dalam setiap perkahwinan yang dilalui terutama dengan Ben yang begitu menjeruk perasaannya. Bersama Ben, Natrah berpindah ke AS pada 15 September 1984. Di bumi asing itu, mereka tinggal di Lake Tahoe, Nevada dan untuk menyara hidup, Natrah bekerja sebagai pengemas dan pembersih chalet dan motel di sekitar Lake Tahoe. Sebelum berpindah ke AS, kehidupan Natrah tidak pernah senang apabila beliau terpaksa bekerja teruk termasuk berjualan di pasar malam untuk menyara keluarga.

Kembalinya Natrah ke Kemaman pada 29 Januari 1998 turut dikisahkan di dalam naskhah ini. Kesempatan itu digunakan oleh Natrah untuk menziarahi kubur Che Aminah, dan beliau juga memberi duit dolar AS kepada kakak angkatnya, Kak Mar dan memintanya membuatkan kenduri arwah untuk Che Aminah. Apa yang boleh disimpulkan daripada naskhah Natrah itu adalah kisah hidupnya penuh dengan derita mulai saat dia ditempatkan di gereja Katolik Convent of the Good Shepherd, Singapura sehinggalah bercerai dengan Ben. Hanya selepas perceraian itu, barulah dikatakan hidup Natrah kembali ceria dengan menjalani hidup seorang diri di Belanda. Anak-anaknya menjenguknya setiap hari dan menjaganya sehingga Natrah menghembuskan nafas terakhir pada 8 Julai 2009 di Huijerben akibat penyakit leukemia.

Dalam pada itu, pengalaman sebagai wartawan majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka selama 13 tahun (1981 - 1994) telah digunakan oleh Fatini dengan begitu baik bagi menyusun sebuah cerita biografi mengikut urutan masa yang jelas, kemas, teliti dan tidak meleret.

Beliau memulakan kisah Natrah pada saat Natrah dilahirkan di Tjimahi, Bandung, Pulau Jawa, Indonesia pada 24 Mac 1937. Sebelum ini, ramai menyangka Natrah dilahirkan di Belanda, tanah kelahiran bapanya. Buku ini turut mendedahkan bahawa ibu Natrah, Adeline ialah seorang wanita yang lahir dari keturunan berdarah campuran Belanda-Indonesia dari sebelah ibunya, Louise Hunter Winterberg.

Tentang bagaimana Natrah diserahkan kepada Che Aminah, ia turut ditulis dengan terperinci. Sebelum ini, ramai menganggap Che Aminah adalah orang gaji kepada keluarga Adeline. Tanggapan itu salah kerana Che Aminah adalah seorang keturunan bangsawan yang berasal dari Kemaman, Terengganu dan membuka perniagaan barang kemas di Bandung, Indonesia.

Che Aminah yang fasih berbahasa Jepun merupakan kenalan baik kepada nenek Natrah, Nor Louise. Berbaloi membaca naskhah ini kerana ia memberi banyak pengajaran berguna tentang kasih sayang, cinta, pengorbanan, maruah bangsa dan agama Islam serta tipu muslihat penjajah dalam memenangi kes Natrah. Naskhah ini boleh memberi kesedaran kepada kita tentang betapa perlunya kita bijak dalam menangani isu berkaitan murtad yang kini semakin berleluasa berlaku dalam masyarakat hari ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Ehsasjdeed
    Ehsasjdeed Isnin, 15 Februari 2010 pada 5:25:00 PTG SGT

    Saya pernah baca tulisan penulis Singapura. Sebelum ni baca begitu-begitu saja dalam berita tapi bila baca kisah Natrah dalam buku tersebut, banyak benda baru yang saya tau. fakta yang sama dalam buku di atas.

Add Comment
comment url