Enjin pesawat F-5E ditemui di Uruguay
Difahamkan, kejayaan itu atas kerjasama diberikan Uruguay kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Perhubungan Antarabangsa Pejabat Peguam Negara yang terbabit secara langsung dalam siasatan kehilangan berkenaan.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, ketika mengesahkan penemuan itu, berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan semula kedua-dua aset pertahanan berkenaan melalui saluran perundangan.
“Proses membawa pulang kedua-dua enjin itu ke tanah air dilakukan sebaik penemuannya dimaklum Kerajaan Uruguay. Bagaimanapun, usaha ini harus mengikut prosedur berkaitan.
“Malaysia merakamkan penghargaan kepada Uruguay, terutama duta mereka di Kuala Lumpur, Pablo Sader di atas kerjasamanya, termasuk menyalurkan maklumat diperlukan dalam siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Pada 19 Disember lalu, Berita Harian membongkar kehilangan dua enjin pesawat tempur itu, masing-masing pada 26 Jun 2007 dan 1 November 2007, ketika dalam proses penyelenggaraan yang mengejutkan banyak pihak.
Kehilangan itu dipercayai angkara orang dalam TUDM dan syarikat penyelenggara pesawat terbabit, dianggap penyelewengan terbesar dalam sejarah ketenteraan di negara ini, sekali gus mendedahkan kelemahan sistem inventori, pengurusan aset dan audit dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Abdul Gani berkata, selaras dengan peruntukan Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002, Kerajaan Malaysia memohon bantuan pihak berkuasa berkaitan di Uruguay untuk mengesan lokasi kedua-dua enjin itu dan sedang berusaha membawanya pulang.
“Selain berhubung dengan Kedutaan Uruguay di Kuala Lumpur, kerajaan juga turut mendapatkan kerjasama Agensi Penasihat Perundangan Pusat Uruguay dalam usaha membawa pulang enjin berkenaan,” katanya.
- BERITA HARIAN