Guru baru ke pedalaman

Kementerian Pelajaran membayangkan bakal mengenakan syarat supaya guru baru dihantar mengajar ke kawasan pedalaman sekurang-kurangnya selama tiga tahun.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia akan diwajibkan ke atas lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

''Bagaimanapun, perkara ini masih lagi di peringkat cadangan sebagai satu strategi melahirkan guru yang lebih terlatih dalam pelbagai bidang.

''Kita merasakan ia cadangan yang baik kerana dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada guru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, dua Naib Ketua bahagian masing-masing ialah Muhammad Farid Saad serta Syed Amerruddin Syed Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Aziaan Ariffin.

Tambahnya, walaupun syarat itu pernah diguna pakai, namun objektifnya tidak seperti yang dihasratkan kerana sering kali ada sahaja campur tangan atau sokongan pihak luar untuk guru baru bertukar.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, kementerian juga akan mencadangkan pelajar aliran sekolah kemahiran dan vokasional dibenar mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi bahasa Melayu sahaja.

''Cadangan itu bagi membolehkan pelajar ini dapat meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi antaranya institut kemahiran kelolaan Kementerian Sumber Manusia atau agensi kerajaan lain.

''Ia adalah idea Bahagian Penyelidikan Teknik dan Vokasional berikutan ramai pelajar kumpulan ini tidak berminat untuk mengikuti kelas akademik sebaliknya cenderung di bidang teknikal dan kemahiran," ujarnya.

Beliau memberitahu, perkara itu sedang diperhalusi oleh Bahagian Peperiksaan Kementerian Pelajaran dan akan dilaksanakan pada bila-bila masa sebaik ia mendapat kelulusan pihak terlibat.

- MINGGUAN MALAYSIA

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.