Top Ad 728x90

,

Bas amfibia ganti feri


Perkhidmatan feri yang sekian lama menghubungkan antara dua kawasan yang dipisahkan oleh sungai merupakan satu pemandangan biasa di mana-mana negara. Malah di negara ini perkhidmatan feri paling popular menghubungkan antara terminal feri Pulau Pinang di Butterworth ke terminal feri Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay di George Town. Tetapi bagaimana jika pemandangan ini digantikan dengan perkhidmatan bas yang mampu menyeberangi sungai-sungai.

Mungkin dilihat agak mustahil tetapi itulah yang berlaku di Glasgow, Scotland apabila perkhidmatan ini yang dikenali sebagai bas amfibia bakal digunakan bagi menggantikan perkidmatan feri.

Bas amfibia dipilih untuk menggantikan feri yang terpaksa ditamatkan perkhidmatan bulan depan kerana syarikat yang menguruskannya Strathclyde Partnership for Transport tidak mampu lagi menanggung kerugian serta untuk menjimatkan kos.

Perkhidmatan bas amfibia setingkat ini dilihat mampu mengembalikan kegemilangan feri menghubungkan Renfrew dan Yonker yang telah berjasa selama lebih 500 tahun.

Bas Amfibia yang berharga 700,000 pound sterling (RM3.8 juta ) yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat Belanda mampu membawa penumpang seramai 50 orang pada satu-satu masa.

Sehingga kini teknologi bas amfibia masih belum pernah digunakan untuk tujuan pengangkutan utama tetapi teknologi ini pernah digunakan untuk tujuan promosi dan pelancongan.

Menurut syarikat yang menguruskan perkhidmatan ini Stagecoach, bas amfibia ini telah dipandu uji di Rotterdam dan ia telah berjaya mencapai piawaian yang dikehendaki.

Bas ini juga telah digunakan dalam satu projek bersama dengan syarikat New York Waterways yang menggunakan bas amfibia untuk tujuan pelancongan di Sungai Hudson di New York.

Apa yang membuatkan bas ini berbeza ialah ia akan digunakan atas kapasiti harian dan pelancongan selain boleh digunakan di atas darat.

Namun perkara yang tidak diingini berlaku ketika uji pandu bas baru-baru ini apabila ia didapati rosak secara tiba-tiba.

Percubaan

Dalam ujian percubaan selama dua hari itu, bas berkenaan didapati rosak pada bahagian suspensi pada hari kedua.

Namun para jurutera berjaya membaikpulih kerosakan dan ujian percubaan berjaya disambung semula beberapa hari kemudian.

Menurut jurucakap Stagecoach, Steve Stewart, bas berkenaan telah menjalani ujian pergi balik seperti yang dikehendaki tetapi sistem suspensi membabitkan beg udara tiba-tiba meletup.

"Pihak kami menerima kejadian ini sebagai masalah teknikal yang perlu dihadapi ketika proses pemeriksaan. Ini adalah cabaran biasa yang perlu dihadapi," kata Stewart.

Berdasarkan casis badan bas amfibia tersebut ia menggunakan enjin jet air berkembar yang boleh mencapai kelajuan lapan batu nautika sejam ketika di dalam air dengan menggunakan rangka sebuah bas biasa ketika di atas darat.

Namun bagi Stewart bas amfibia ini mempunyai potensi yang sangat cerah untuk dikembangkan.

"Perkhidmatan bas ini sangat sesuai untuk menghubungkan dua kawasan yang terpisah oleh sungai dan pada masa sama anda boleh menikmati pemandangan indah ketika menyusuri sungai," katanya.

Mungkin sudah tiba masanya bagi pihak yang berkenaan di negara ini untuk melihat sama ada penggunaan bas amfibia sebagai alat pengangkutan yang boleh dieksploitasi atas tujuan perhubungan mahupun pelancongan.

Mungkin harganya mahal dan kos penyelenggaraan tinggi tetapi dari jangka masa panjang ia mampu menggalakkan pelancongan di negara ini.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90