Pemandu kereta api wanita pertama


Dalam persalinan sari putih kekuningan dan sepasang anting-anting, Surekha Yadav mungkin boleh menjadi mana-mana wanita yang baru sahaja turun dari kereta api di stesen kereta api utama di Mumbai, India.

Namun hakikatnya, wanita berusia 44 tahun dan ibu kepada dua cahaya mata itu bukan sekadar mengembara menaiki kereta api. Kelibatnya di celah ribuan penumpang yang ada di platform Chhatrapati Shivaji Terminus (CST) adalah kerana dia yang memandu pengangkutan awam tersebut.

Yadav merupakan pemandu kereta api penumpang wanita pertama di Stesen Kereta Api Pusat Mumbai dan kerjayanya itu menjadikanya berjaya memecah tradisi dalam industri yang sering dikuasai kaum lelaki tersebut.

Sejak kali pertama dia menceburi bidang tersebut hampir sedekad lalu, dia telah menarik perhatian ramai. Itu tidak termasuk seorang lagi motorwoman atau wanita motor yang menyertai kerjaya itu bersama dua lagi wanita yang bertindak sebagai pembantu pemandu.

Selain itu, terdapat juga pemandu kereta api wanita di rangkaian Western Railway yang membawa lebih enam juta penumpang yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu setiap hari.

Yadav yang mengakui tidak berminat dengan kereta api sebelum memohon jawatan sebagai pembantu pemandu pada 1989 berkata, dirinya tidak memiliki kemahiran melainkan sokongan daripada rakan-rakan sekerja lelaki.

"Mereka memberi galakan, membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya dengan baik," ujarnya sambil menambah bahawa dia menjalani latihan istimewa untuk menjadi pemandu kereta api wanita pertama ghat loco iaitu kereta api penumpang dua enjin yang melalui laluan berbukit di barat Maharashtra.

"Memandangkan saya wanita, mereka bimbang sama ada saya mampu buat tugasan itu atau tidak," katanya.

Apa yang pasti, ramai wanita seperti Yadav boleh ditemui dalam lipatan sejarah India. Daripada ratu pahlawan seperti Rani Lakshmibai, ahli-ahli pergerakan yang menuntut kemerdekaan pertama, hinggalah kepada satu-satunya Perdana Menteri wanita, Indira Gandhi.

Prathiba Patil, presiden ketika ini merupakan wanita pertama yang memegang jawatan tersebut, malah ramai wanita sudah mendominasi jawatan penting syarikat-syarikat gergasi di negara Asia Selatan itu.

Penderaan

Namun, meskipun perlembagaan India menjamin hak persamaan wanita, perbezaan layanan jantina masih wujud terutamanya di kawasan pedalaman. Ini dilihat jelas dari aspek pendidikan, penjagaan kesihatan dan makanan.

Hanya satu pertiga wanita di India yang berusia antara 15 hingga 49 tahun berkata mereka mempunyai pengalaman didera dalam keganasan rumah tangga. Statistik ini berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan Keluarga Kebangsaan 2007.

Keseluruhan kes keganasan yang berlaku atas wanita meningkat hampir 25 peratus antara tahun 2003 hingga 2007, berdasarkan statistik terbaru yang dikeluarkan kerajaan. Peningkatan tertinggi melebihi 30 peratus direkod untuk kes penculikan dan penderaan.

Madhu Purnima Kishwar dari Pusat Kajian dan Pembangunan Masyarakat di New Delhi, merangkap pengasas kumpulan hak asasi Manushi Sangathan berkata, pembahagian jantina dalam bekerja bukan halangan untuk berjaya, malah menjadikan wanita lebih kuat.

"Di India, wanita yang membuktikan bahawa mereka lebih kuat berbanding lelaki biasanya mampu membuatkan lelaki tersungkur di tapak kaki mereka," jelasnya sambil mengaitkan tentang penyembahan terhadap tuhan wanita dalam agama Hindu.

Selain daripada menjadi pemandu kereta api wanita pertama, Yadav juga menjadi sebahagian daripada usaha untuk menyelesaikan masalah gangguan seksual di negara itu.

Menteri Pengangkutan Kereta Api, Mamata Banerjee memperkenalkan kereta api khas untuk wanita atau Ladies Special di bandar tersebut semata-mata untuk meningkatkan keselamatan dalam kalangan penumpang wanita.

Bagi Yadav, dia sentiasa positif terhadap peluang kerjayanya. Penat lelah keluarganya menanggung kos kursus diploma dalam pengajian kejuruteraan elektrikal dianggap berbaloi dengan apa yang diperolehnya kini.

"Semua orang diberi peluang untuk mengejar impian dan apa sahaja yang ingin dilakukan. Kita mempunyai kebebasan untuk mendapat pendidikan dan menggunakan ia sebaik mungkin. Kami amat bertuah.

"Ibu saya tidak pernah berkata bahawa menjadi wanita akan menyebabkan saya terpaksa duduk di rumah dan memasak. Sebaliknya, dia menyuruh saya belajar terlebih dahulu dan lihat apa yang akan berlaku seterusnya," luah Yadav sambil tersenyum.

Namun begitu, wanita itu mengakui cabaran besar yang terpaksa dihadapi dalam menjalankan tanggungjawab tersebut.

Tugas itu menuntut pengorbanan yang tinggi kerana dia perlu pandai membahagikan masa untuk anak-anak lelaki dan suaminya yang bekerja sebagai pegawai polis.

Bekerja dalam persekitaran yang dipenuhi lelaki sejak menamatkan zaman belajar, membuatkan Yadav terputus hubungan dalam kehidupan sosial.

"Saya rindukan persahabatan dengan wanita sejak 23 tahun lalu. Kini, saya sendiri malu dan kekok untuk bercakap dengan perempuan," ungkapnya penuh makna.

- AFP

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.