MyTuition, inovasi basmi kemiskinan
Tidak semua individu bernasib baik dilahirkan dalam keluarga yang senang dan berkemampuan. Bagi yang berhadapan dengan masalah kemiskinan, situasi itu mungkin membataskan mereka untuk memperolehi keperluan hidup yang sempurna.
Antara kekurangan yang sering dihadapi adalah dari segi keperluan utama seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian.
Berpendapatan rendah dan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan juga pastinya akan memberi kesan terhadap keperluan pendidikan di kalangan anak-anak mereka.
Dalam usaha menyokong golongan ini memperbaiki taraf hidup mereka, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bantuan secara lebih produktif.
Banyak infrastruktur moden telah dibangunkan demi kemudahan rakyat selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan.
Tidak terhenti setakat itu, kerajaan turut memberi fokus kepada perkembangan keperluan pendidikan kerana yakin ia merupakan komponen penting dalam melestarikan model insan untuk generasi akan datang.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, pendekatan membasmi kemiskinan melalui inovasi pendidikan telah diperkenalkan menerusi perkhidmatan yang dikenali sebagai MyTuition.
Dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Ogos tahun lalu, ia merupakan pusat pembelajaran disediakan khusus untuk golongan pelajar yang kurang berkemampuan.
Apa yang menarik, pelaksanaan MyTuition memberi fokus kepada penilaian kendiri para pelajar menggunakan pendekatan teknologi maklumat, multimedia interaktif dan Internet secara percuma.
Projek MyTuition telah dilaksanakan di bawah inisiatif Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama sebuah syarikat teknologi tempatan, Digital Technologies Sdn. Bhd. (DTech) dan mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran.
Menurut Pensyarah Fakulti Informasi Sains dan Teknologi, Prof. Datuk Dr. Halimah Badioze Zaman, projek berkenaan menyasarkan golongan pelajar di kawasan kemiskinan bandar di bandar-bandar bagi memenuhi keperluan pendidikan mereka.
"Peranan yang dimainkan oleh universiti ini diharap dapat membantu dan memenuhi keperluan pendidikan di kalangan masyarakat kurang berkemampuan.
"MyTuition hadir tepat pada masanya dengan objektif menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajar yang lemah, memperkukuhkan pelajar pintar serta membantu mereka yang mempunyai pencapaian rendah.
"Selain kos yang murah, pendekatan aplikasi teknologi yang diketengahkan juga dilihat mampu merapatkan jurang digital inovasi di kalangan mereka,'' katanya ketika ditemui di Pusat MyTuition di Taman Bukit Antarabangsa, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pusat tersebut memberi fokus kepada pembelajaran mata pelajaran Matematik, Sains, bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia bermula daripada tahun satu sehingga tingkatan lima mengikut modul kurikulum yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.
Kemudahan
Melihat kepada perkhidmatan MyTution di Kampung Kerinchi itu, bangunan yang asalnya merupakan pusat komuniti setempat telah diubah suai menjadi kelas pendidikan dengan suasana kondusif dan menarik.
Ia mempunyai ruang pembelajaran yang luas, bilik perbincangan dan bilik tutorial lengkap dengan penyaman udara untuk keselesaan para pelajar.
Dari segi kemudahan infrastruktur pula, pusat tersebut dilengkapi 50 buah komputer yang disokong perisian pendidikan CMA Mental Arithmertic bagi kemudahan pelayaran portal pembelajaran secara dalam talian serta pemantauan pencapaian para pelajar.
Untuk kelengkapan lain, MyTuition turut mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat korporat seperti komputer peribadi daripada Lenovo, dua buah pelayan daripada IBM serta kelengkapan lain daripada DTech.
Seramai tiga orang guru pendidik disediakan di pusat berkenaan untuk membantu para pelajar menjalankan aktiviti berkaitan subjek sains dengan integrasi bersama keunikan bidang seni.
Setakat ini, pusat itu menerima sambutan cukup menggalakkan daripada penduduk-penduduk kawasan perumahan rakyat di sekitar Kampung Kerichi, Pantai Dalam dan juga Abdullah Hukum.
Seramai lebih 1,000 pelajar telah mendaftar dan memperoleh nama pengguna serta kata laluan masing-masing untuk kemudahan mengakses MyTuition.
"Kebanyakan mereka mengunjungi pusat ini selepas waktu sekolah. Ia merupakan satu perkembangan yang baik kerana daripada melepak melakukan perkara tidak berfaedah, lebih baik mereka menghabiskan masa terluang mengulangkaji pelajaran di sini.
"Ibu bapa juga tidak perlu bimbang kerana pusat ini menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat untuk anak-anak mereka belajar.
"Kanak-kanak yang tidak bersekolah akibat kemiskinan jua datang dengan inisiatif sendiri untuk belajar di sini dan lebih membanggakan mereka berjaya menunjukkan prestasi dan pencapaian cukup cemerlang,'' jelasnya.
Selain itu, tinjauan yang dilakukan juga mendapati para pelajar yang sering mengunjungi MyTuition telah memperolehi peningkatan dalam keputusan peperiksaan di sekolah mereka.
Bagi menawarkan lebih keseronokan dalam pembelajaran matematik di kalangan pelajar sekolah menengah, pusat tersebut turut mengaplikasi perisian pembelajaran interaktif dikenali sebagai ME2 yang dibangunkan sendiri oleh pihak UKM.
Kelas-kelas MyTuition dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan jadual waktu yang telah ditentukan mengikut peringkat pendidikan sekolah rendah dan juga menengah.
Aktiviti
Selain mengulangkaji pelajaran secara sendiri, Mytuition turut mewujudkan pelbagai aktiviti yang menyeluruh untuk para pelajar.
Ia merangkumi kelas pembelajaran untuk penguasaan sesebuah subjek, kelas tambahan untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) serta mewujudkan bank soalan berdasarkan kertas peperiksaan tahun-tahun terdahulu.
Di samping itu, terdapat juga aktiviti tambahan yang diadakan ketika musim cuti sekolah iaitu lawatan ke tempat-tempat ilmu seperti Pusat Sains Negara dan Muzium Negara.
Dalam usaha memperbanyakkan aktiviti, UKM sedang dalam strategi merangka lebih banyak program pembangunan kepada ibu bapa serta para pelajar sendiri.
Antaranya adalah seperti menganjurkan bengkel kaunseling, program mentor mentee selain menyediakan aktiviti motivasi kepada ibu bapa untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan dan keperluan pendidikan di kalangan anak-anak mereka.
"UKM juga berharap agar lebih ramai sukarelawan dapat tampil membantu kami menjayakan projek MyTuition ini," katanya.
Melihat manfaat pusat tersebut dari sudut lain pula, ia secara tidak langsung dapat membantu para pelajar membangunkan kemahiran berkomunikasi, bersosial dan juga kepimpinan.
Pusat MyTuition dijangka diperluas ke kawasan-kawasan terpilih di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.
Dengan kewujudan pusat ini, adalah diharapkan para penduduk di kawasan kemiskinan urban dapat melihat ia sebagai peluang untuk mengubah cara hidup generasi akan datang ke satu peringkat yang lebih baik.
- UTUSAN