Bandar Tentera Laut jadi tumpuan kapal asing

LUMUT 20 April - Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini menerima pertambahan sekali ganda kunjungan kapal tentera laut asing sejak bandar ini diumumkan sebagai Bandar Tentera Laut pada 24 April tahun lepas.

Panglima Armada TLDM, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pengisytiharan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut telah menarik minat armada laut luar negara untuk mengunjungi tempat ini.

''Dalam tempoh setahun, kita menerima kedatangan tentera laut dari Filipina, Amerika Syarikat (AS), Singapura, India, Pakistan dan banyak lagi.

''Peningkatan kapal tentera laut asing ini banyak membantu kepada pembangunan setempat kerana anggota tentera ini berbelanja sepanjang mereka berada di sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup Eksesais Malphi Laut 13/2010 yang turut dihadiri Panglima Armada Tentera Laut Filipina (PN), Laksamana Muda Geronimo R. Defensor di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Kamarulzaman memberitahu, menjelang Hari TLDM pada 27 April ini serta hari ulang tahun pertama Bandar Tentera Laut, pelbagai aktiviti akan diadakan pada 23, 24 dan 25 April ini.

Jelas beliau, aktiviti tersebut termasuk pameran kerjaya dan pameran maritim oleh TLDM serta agensi-agensi maritim lain.

''Sempena ulang tahun Bandar Tentera Laut, anggota TLDM juga akan bersama-sama masyarakat membersihkan pantai di sini dan kita menggunakan pasukan penyelam untuk membersih sampah di dalam air.

''Selain itu, kita juga akan mengadakan pertunjukan seni dan bengkel sukan kapal layar untuk menggalakkan lebih ramai anak-anak muda terlibat dalam sukan ini," ujarnya.

Mengulas mengenai Eksesais Malphi Laut 13/2010, Ahmad Kamarulzaman berkata, ia merupakan latihan pertama antara TLDM dengan PN yang melibatkan penggunaan helikopter sejak mula diperkenalkan pada 1997.

Katanya, sebanyak empat buah kapal, dua buah helikopter, sebuah pesawat tempur dan 600 anggota tentera laut terlibat dalam eksesais kali ke-13 yang bermula pada 12 April lepas di perairan Lumut dan utara Selat Melaka.

''Pasukan yang terlibat dari TLDM ialah KD Kedah dan KD Laksamana Tun Abdul Jamil dan pesawat F-18 dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala dari PN pula ialah BRP Apolinario Mabini dan BRP Dagupan City.

''Eksesais ini mencapai objektifnya kerana kita dapat mewujudkan kerjasama operasi di antara kedua-dua pasukan walaupun kedua-dua angkatan menggunakan kapal dan sistem yang berlainan," katanya.

Menurut beliau, sejak dimulakan 13 tahun lalu, Malphi Laut telah memberi kesan positif dengan menyumbang kepada keadaan yang lebih selamat di kawasan perairan negara.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url