MALAYSIAN UNIVERSITY SELECTION YEARLY INVENTORY (MUNSYI)

Pengenalan

Amalan sedia ada pemilihan calon pelajar untuk kemasukan ke program pengajian di IPT adalah berdasarkan pencapaian akademik, kokurikulum dan program pilihan pelajar. Walaupun pencapaian akademik dan kokurikulum memenuhi syarat kemasukan tetapi program yang dipilih pelajar berkemungkinan tidak tepat dengan personaliti, minat, nilai, dan potensi sebenar pelajar berkenaan. Ini boleh membawa kepada pencapaian yang tidak memuaskan dalam pelajaran, kekecewaan, pertukaran program dan penarikan diri daripada pengajian. Ianya merupakan pembaziran modal insan yang berpotensi dan merugikan universiti yang telah banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk melatih pelajar ini.

Isu ketidakselarasan personaliti dan minat dengan bidang pengajian diikuti mungkin tidak dapat diselesaikan walaupun pelajar berjaya memperoleh ijazah. Ketidakselarasan ini akan membawa masalah dalam pekerjaan seperti prestasi yang kurang memuaskan, produktiviti yang rendah, dan berpotensi besar untuk bertukar kerjaya yang diceburi. Secara tidak langsung, ia akan mengakibatkan universiti dipersalahkan kerana tidak dapat melatih graduan dengan baik.

Ketidakselarasan antara personaliti, minat dan pekerjaan memberi kesan kepada kerjaya dan seterusnya kesejahteraan individu. Tekanan yang wujud akibat ketidakselarasan ini boleh dimanifestasikan melalui pengambilan cuti sakit yang berlebihan, ponteng kerja, kurang komitmen, dan sebagainya (Carmeli & Gefan, 2004). Perkara ini juga boleh melangkau keluar alam pekerjaan dan memberi impak kepada kehidupan keluarga dan kesihatan mental pelbagai individu yang terbabit. Ini merupakan liabiliti yang mungkin ditanggung oleh masyarakat dan negara dalam jangka masa panjang akibat ketidakselarasan yang boleh ditangani di peringkat pemilihan calon pelajar.

Oleh itu, satu pendekatan diperlukan untuk mengatasi permasalahan di atas. Antara pendekatan yang boleh digunakan adalah melalui penggunaan instrumen psikometrik. Instrumen ini berupaya mengukur personaliti, minat dan kesesuaian kerjaya untuk mengenal pasti program yang sesuai dengan pelajar. Pemilihan calon pelajar yang sesuai dengan program pengajian akan menjamin kelahiran modal insan yang diperlukan dalam pasaran kerja glokal.

Menurut Holland (1998), keselarasan antara personaliti dan minat dengan kerjaya adalah penentu kepada motivasi, kepuasan kerja, pencapaian, produktiviti dan stabiliti dalam kerjaya. Penentuan “individu yang betul untuk kerjaya yang betul” perlu diberi perhatian sewajarnya dalam pemilihan calon pelajar (Parson, 1908 dalam Sidek Mohd Noah, 2005). Sehubungan itu, keselarasan antara program pengajian yang dipilih pelajar dengan personaliti, minat, nilai dan potensi sebenar pelajar amat penting dan perlu diambil kira dalam kemasukan ke program IPT.

Pada masa ini, proses pengambilan calon guru ke program pengajian pendidikan di IPTA mengambil kira keselarasan personaliti dan minat pelajar dengan bidang yang dipohon. Saringan calon guru dilakukan melalui ujian psikometrik yang dikenali sebagai Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI). Inisiatif ini adalah hasil daripada cadangan Majlis Dekan-Dekan Fakulti Pendidikan IPTA. Langkah ini diambil untuk melahirkan pendidik yang kompeten. Kohort pertama calon guru yang diambil melalui ujian MEdSI adalah pada semester pertama sesi 2007/2008. Pemerhatian awal terhadap kualiti kumpulan pelajar ini sangat memberangsangkan berbanding kohort sebelumnya (Abdul Malek et al., 2008; Joharry et al., 2008).

Di luar negara, masalah keselarasan antara individu dengan bidang pengajian yang dipohon diselesaikan melalui penggunaan teknik psikometrik. Misalnya ujian Vocational Preference Inventory (VPI), Self-Directed Search (SDS), dan Strong-Campbell Interest Inventory (SCII) telah digunakan secara meluas dalam proses pengambilan staf dan pelajar di Amerika Syarikat. Ujian-ujian ini menggunakan konsep Person-Environment Fit (P-E Fit) iaitu satu konsep penyelarasan antara ciri individu dengan persekitaran.

Instrumen yang sedia ada umumnya dibangunkan di negara barat yang mana latar belakang budayanya begitu berbeza dengan budaya Malaysia. Perbezaan budaya ini menuntut pembangunan instrumen yang berasaskan kepada nilai dan budaya tempatan. Justeru satu set instrumen yang dikenali sebagai Malaysian University Selection Inventory (MunsyI) yang dibangunkan berasaskan konsep Person-Program Fit™(P-P Fit™).

Tujuan MunsyI

Instrumen MunsyI dibangunkan untuk memperoleh maklumat berkaitan kualiti intrinsik calon meliputi Minat Kerjaya, Personaliti, Nilai Integriti, Kecerdasan Emosi dan Patriotisme sebagai tambahan kepada maklumat sedia ada calon. Maklumat yang diperoleh daripada pengukuran ini digunakan untuk memilih calon yang sesuai bagi kemasukan ke pelbagai program pengajian yang ditawarkan oleh universiti di Malaysia. Secara khususnya, justifikasi penggunaan instrumen MunsyI adalah seperti berikut:

a. Membantu calon pelajar memilih program yang paling sesuai dengan dirinya.

b. Membantu universiti mendapatkan calon pelajar yang paling sesuai berdasarkan konsep “individu yang betul untuk program yang betul”. Instrumen ini berupaya membezakan calon pelajar yang berpotensi untuk berjaya dalam bidang yang diikutinya.

c. Pemilihan calon pelajar tidak tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi mengambil kira aspek minat kerjaya, personaliti, nilai integriti, kecerdasan emosi dan patriotisme sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

d. Membantu mengurangkan masalah dalaman yang timbul di universiti hasil daripada konflik pemilihan program yang berbangkit semasa pengajian seperti bertukar program, prestasi yang rendah, keciciran dan kecelaruan emosi.

e. Antara kriteria ranking universiti adalah berdasarkan jumlah pelajar yang memperoleh ijazah dalam masa yang ditetapkan dan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat. Keselarasan pelajar dengan bidang pengajian mengguna MunsyI membantu merealisasikan hasrat universiti memperoleh ranking yang terbaik.

f. Instrumen MunsyI ini seiring dengan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang sedang dalam proses pelaksanaan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Takrifan Konstruk

Minat kerjaya
Individu mempunyai pelbagai minat yang berbeza. Minat kepada sesuatu kerjaya merupakan salah satu faktor yang terpenting dalam menentukan kejayaan seseorang dalam profesion yang diceburi. Cabaran profesion percalonan yang semakin hebat pada masa kini memerlukan ketepatan pemilihan calon calon. Minat yang mendalam terhadap kerjaya ini dapat memastikan calon seronok menjalankan tugas dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti.

Personaliti
Personaliti seseorang perlulah bersesuaian dengan profesion yang dipilih. Keselarasan personaliti dengan kerjaya yang diceburi adalah amat penting kerana keselarasan antara personaliti dan minat dengan kerjaya adalah penentu kepada motivasi, kepuasan kerja, pencapaian, produktiviti dan stabiliti dalam kerjaya.

Nilai Integriti
Nilai integriti merangkumi nilai murni yang boleh diukur dalam batasan pengetahuan, sikap dan tingkah laku. Integriti merupakan projeksi profesionalisme calon berkaitan dengan sifat berdisiplin, tekun, bertanggungjawab, optimis, berkepimpinan, sabar, kreatif dan inovatif. Justeru itu, calon perlu mempunyai integriti dan sikap profesionalisme yang tinggi.

Kecerdasan Emosi
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan kepada empat aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek. Keseimbangan kesemua aspek ini berupaya melahirkan tenaga kerja mahir tetapi juga berupaya menyelesaikan konflik dan masalah, merancang dan mencalons tugas-tugas harian, kreatif dan inovatif dalam pekerjaan serta berkeupayaan memperbaiki interaksi dengan orang lain.

Patriotisme
Nilai patriotisme merangkumi nilai yang terkandung dalam lima prinsip Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Kedaulatan Undang-undang, Keluhoran Perlembagaan dan Kesopanan dan Kesusilaan. Melahirkan pekerja yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Next Post Previous Post
2 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Selasa, 20 April 2010 pada 3:32:00 PTG SGT

    salam bro adha,

    utk exam munsyi,camna format soklan?
    apa tips utk mjawab exam tu?
    tu saja.-amin kedah.

  • NurWahidah Abdullah
    NurWahidah Abdullah Selasa, 5 April 2011 pada 11:47:00 PG SGT

    salam..sy pun ingin tau macam komen saudara kat atas nih..munysi nih berkaitan apa,adakah berkaitan pengetahuan tentang bidang yg kita pilih

Add Comment
comment url