Bumi hanya pinjaman anak cucu
Ahli Rakan Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar
Kita tidak mewarisi bumi ini dari nenek moyang kita namun hanya sekadar meminjamnya daripada anak cucu kita. Itulah pepatah yang selalu kita dengar dari para aktivis alam sekitar. Bila diteliti, memang ada kebenaran di sebalik kata-kata itu.
Kita merasakan bumi ini kita yang punya, justeru terpulang kepada kita bagaimana ia diperlakukan sehingga terlupa adanya generasi mendatang yang akan terus menghuni bumi ini. Selayaknya sebagai peminjam, kita wajib menjaga bumi ini dengan cermat supaya kita dapat memulangkannya dalam keadaan yang sebaik mungkin.
Pernahkah kita terfikir bagaimana cucu cicit kita ingin meneruskan kelestarian hidup di muka bumi pada masa akan datang? Tabiat kita masih sama, membuang sampah sesuka hati, membazir elektrik dan air tanpa rasa bersalah, menggunakan bahan pakai buang seolah-olah kita bukan sebahagian daripada kehidupan ini dan terus mencemarkan udara dengan asap rokok dan kilang industri tanpa kawalan.
Tidak hairanlah tahun demi tahun kita melihat statistik sampah yang dibuang meningkat. Dilaporkan sebanyak 17 ribu tan sisa pepejal dibuang setiap hari dan dijangka meningkat sehingga 30 ribu tan pada 2010. Kalau inilah yang ingin kita persembahkan kepada anak cucu kita, maka alangkah malunya kita kerana telah gagal mengurus bumi ini.
Usaha-usaha kecil yang mampu dilakukan oleh setiap orang pasti boleh membawa perubahan walau ia dianggap remeh-temeh oleh sesetengah pihak. Membuang sampah di dalam tong sampah, menggunakan 'beg hijau' semasa membeli-belah, menukar lampu kepada lampu jimat tenaga, melakukan kitar semula dan berhenti merokok adalah di antara langkah-langkah di dalam kawalan kita.
Jika dalam sehari kita mampu mengurangkan penggunaan 1 beg plastik, dan sekiranya sejuta orang melakukan perkara yang sama maka dalam sehari sejuta beg plastik boleh dijimatkan.Seperti pepatah Inggeris "alone we are only one drop but together we are an ocean".
Dari satu aspek yang lain pula, sudahkah kita menyediakan anak cucu kita untuk mereka pula mengambil alih pengurusan bumi ini? Sudahkah kita menjadi suri tauladan kepada mereka? Sudah lengkapkah pendidikan alam sekitar yang kita berikan kepada mereka?
Hari Bumi yang disambut setiap 22 April saban tahun boleh menjadi platform yang sesuai untuk kita menggerakkan kesedaran cintakan bumi kepada generasi muda. Sambutan yang diasaskan sejak tahun 1970 ini, setelah 40 tahun ia diraikan membawa kita untuk menyorot kembali apa yang terjadi kepada bumi asbab dari hasil tangan manusia dan mencari jalan penyelesaian kepada kebejatan alam sekitar.
Ketahuilah bahawa dengan memadamkan lampu selama satu jam dalam setahun tidak memadai dengan kerosakan yang telah dialami oleh bumi sejak sekian lama.
Di seluruh dunia, sambutan Hari Bumi disambut oleh rakyat pelbagai peringkat. Aspek pendidikan diberikan perhatian kerana impaknya adalah lebih besar walaupun mungkin memakan masa.
Pelajar sekolah hatta dari peringkat pra-sekolah telah diberikan pendedahan yang maksimum kepada penjagaan dan kecintaan alam sekitar. Aura generasi muda ini tidak boleh dipandang sebelah mata, mereka boleh mengubah dunia sekiranya diberikan perhatian dan pendidikan yang secukupnya. Mereka adalah pembuat dasar pada masa hadapan dan sewajarnyalah mereka menjadi sasaran pendidikan pengurusan bumi dan alam sekitar.
Dr. Jane Goodall, pengasas Jane Goodall Institute yang merupakan seorang pakar primatologi juga aktivis pemuliharaan chimpanzee dan alam sekitar pernah menceritakan pengalamannya bagaimana kanak-kanak boleh mengubah persepsi keluarga dan masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar dan haiwan.
Seorang kanak-kanak lelaki telah menulis surat bantahan kepada satu syarikat produk makanan kerana telah meletakkan gambar chimpanzee yang kurang sesuai pada kotak produk mereka. Menariknya, selepas beberapa bulan, syarikat tersebut mengambil peduli dengan gesaan kanak-kanak itu dan tidak lagi memaparkan gambar chimpanzee tersebut.
Seorang remaja perempuan yang aktif dalam kelab alam sekitar di sekolah telah mengejutkan seluruh ahli keluarganya pada jam 2 pagi untuk membaiki paip air yang bocor di rumah mereka. Pembaziran air sangat diambil berat oleh remaja tersebut dan beliau dapat mengajak keseluruhan ahli keluarganya untuk sama-sama rasa bertanggungjawab.
Nyata sekali, generasi muda mempunyai kuasa untuk berubah dan merubah keadaan termasuk keluarga dan lingkungan pengaruh mereka (circle of influence). Generasi muda di Malaysia juga pasti mampu mencapai tahap sedemikian sekiranya diberi pendedahan dan pendidikan yang sepatutnya.
Dalam satu bual bicara kewanitaan di salah satu stesen TV tempatan tidak berapa lama dahulu, seorang ibu dan anaknya telah dijemput untuk mengisi slot keibubapaan. Kanak-kanak perempuan yang berumur tujuh tahun itu dikatakan mempunyai kepandaian yang lebih tinggi daripada kebanyakan kanak-kanak seusianya.
Bila ditanya kepada beliau tentang cita-citanya, jawabannya memang lain daripada yang lain. Beliau ingin menjadi seorang petani dengan menggunakan kaedah organik dan tidak mahu menggunakan beg plastik kerana ia tidak mesra kepada alam sekitar.
Nyata sekali pendedahan dan pendidikan yang diberikan oleh ibunya telah berjaya mengubah cara kanak-kanak itu berfikir dan bertindak.
Sambutan Hari Bumi ini boleh dijadikan sebagai titik tolak pihak sekolah dalam memberikan pendedahan kepada murid-murid untuk menghargai, menyayangi dan melindungi bumi ini. Aktiviti-aktiviti kecil seperti pertandingan kelas yang paling sedikit menghasilkan sampah atau yang aktif dalam kitar semula boleh diadakan. Program menanam pokok di kawasan sekolah dan menjaganya wajar dijadikan acara tetap.
Kelab alam sekitar sekolah sepatutnya diaktifkan dan mereka boleh menjalankan projek jangka panjang seperti menggantikan bahan pencuci kimia kepada yang lebih mesra alam. Sekolah juga boleh membentuk pasukan audit tenaga yang terdiri daripada guru dan murid.
Mereka boleh memeriksa lampu dan alat pendingin hawa yang dibiarkan terpasang , komputer yang tidak ditutup dan aktiviti kitar semula di sekolah mereka. Mereka juga boleh membuat kajian bagaimana murid-murid mengambil wudhu di surau dan bagaimana mengelakkan pembaziran air semasa berwudhu.
Bagi pelajar Muslim pula, ini adalah masa terbaik untuk mengingatkan kembali peranan manusia sebagai khalifah yang sepatutnya menjaga kemaslahatan bumi ini dan segala apa yang ada di dalamnya. Islam yang diturunkan sebagai rahmat sekalian alam wajib diterjemahkan dengan menunjukkan kasih sayang kita kepada bumi dan alam sekitar. Ia usaha yang mengambil masa yang panjang tetapi wajar dimulakan dari sekarang.
Dengan usaha bersepadu semua pihak, pasti kita dapat menyediakan generasi muda yang berkualiti untuk memimpin kesejahteraan alam ini selepas kita. Sambutan Hari Bumi 22 April 2010 ini mungkin menjadi pemangkin kepada kelestarian semua hidupan di atas muka bumi ini. Selamat menyambut Hari Bumi 2010.
- UTUSAN