Gaya hidup sihat atasi tekanan
Mengamalkan gaya hidup sihat boleh mengelak tekanan perasaan yang keterlaluan. Individu yang bijak mengatur kehidupan pasti boleh berdepan dengan apa sahaja bentuk cabaran yang bakal melanda.
Individu yang tidak pandai mengawal perasaan mereka mudah menerima tekanan perasaan.
Faktor-faktor lain termasuk individu yang tidak pandai mengatur hidup, terlalu mengambil banyak cabaran, terlalu memikirkan kesempurnaan, terlampau bercita-cita tinggi, ingin sentiasa menang, enggan mengalah atau pun memang ada kecenderungan untuk mendapat sakit mental.
Menurut Perunding Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Madya Dr. Marhani Midin, tekanan perasaan boleh diselesaikan dengan beberapa kaedah, namun ia terpulang bagaimana individu itu melihat ke dalam diri mereka.
Katanya, terlebih dahulu, individu itu perlu memastikan apakah yang menjadi punca kepada tekanan yang sedang dihadapinya.
''Kemudian, setelah tahu puncanya, terdapat dua kaedah teknik yang boleh digunakan untuk mengatasi permasalahan itu iaitu kaedah penyelesaian masalah serta teknik fokus kawalan kepada emosi.
''Tekanan boleh diselesaikan secara keseluruhan menerusi kehidupan yang sihat, bersenam, keseimbangan antara cabaran dan kegembiraan dan tidak terlalu mengambil banyak sangat cabaran,' katanya.
Jelasnya, teknik mengawal emosi merupakan kepekaan individu itu kepada perasaan atau atas apa yang individu itu rasakan.
''Bagi kita yang normal, bila sudah mengetahui apa yang tidak kena kepada perasaan, kita perlu atasinya dengan apa cara dalam usaha untuk menyelesaikan masalah.
''Itu juga bergantung kepada bentuk tekanan itu sama ada punca masalah itu boleh diselesaikan atau tidak. Jika rasa ia boleh diselesai, cari jalan penyelesaiannya.
''Individu itu perlu cari jalan untuk menguruskan dirinya seperti bersembahyang, berdoa, berhibur ataupun berbincang dengan rakan atau berkongsi masalah,'' katanya.
Menurut Marhani, individu yang menghadapi tekanan perasaan boleh berjumpa dengan teman-teman, keluarga mahu pun mereka yang profesional untuk membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.
- UTUSAN