Top Ad 728x90

Membina usahawan online


Sudah menjadi trend, perniagaan hari ini banyak yang diusahakan melalui Internet. Ia bukan sahaja mampu menjimatkan kos dan masa malah pengurusannya dianggap mudah dan tidak membebankan.

Begitu pun masih ramai lagi usahawan yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat (IT) sama ada untuk membina laman web sendiri atau proses berniaga secara online.

Menyedari akan hakikat tersebut, sekumpulan anak muda yang diketuai oleh seorang jurutera perisian, Mohd. Akmal Akhpah serta rakan-rakannya terdiri daripada Shahabudeen Jalil Kamalul Jaman, Mohd Suhaimi Ramly, Khairul Anwar M. Zaki, Luqman Zulhusni Ismael dan Mohd Alif Nordin telah menubuhkan portal www.lot.my, satu laman web yang membolehkan usahawan mendedahkan diri kepada dunia perniagaan online secara sistematik dan kos efektif.

Menurut Shahabudeen Jalil, lot.my ditubuhkan dengan tujuan meluaskan peluang perniagaan secara dalam talian untuk semua rakyat Malaysia.

"Portal ini diwujudkan untuk memberi penyelesaian kepada masalah seperti kos membuat laman e-dagang yang tinggi, kurang kepakaran teknikal dalam bidang IT dan saluran pemasaran online yang tidak berkesan.

"Pada masa yang sama, lot.my juga diperkenalkan sebagai satu portal untuk membina kedai online yang mudah,'' ujarnya ketika ditemui selepas bengkel Cara Membuka Kedai Online anjuran bersama Mega-Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Shahabudeen, melalui bengkel tersebut para peserta yang hadir diajar daripada A hingga Z termasuklah bagaimana untuk mendaftar akaun e-mail.

Ternyata bengkel separuh hari itu memberi manfaat kepada kira-kira 50 peserta yang hadir dari seluruh negara.

Bengkel tersebut yang terbahagi kepada dua bahagian itu turut memberikan latihan secara praktikal kepada para peserta.

Pada masa yang sama selain didedahkan dengan ilmu-ilmu IT, para peserta turut didedahkan bagaimana untuk berurus-niaga secara online seperti maklumat kedai, kaedah pembayaran, penghantaran dan sebagainya.

Mengulas lanjut mengenai portal tersebut, menurut Shahabudeen, lot.my merupakan satu aplikasi bagi usahawan untuk membuka kedai online secara percuma, mudah dan berkesan.

"Lot.my ini dibangunkan supaya mudah digunakan walaupun oleh pengguna yang tidak mempunyai kemahiran IT.

"Untuk memulakan kedai usahawan hanya perlu daftar, pilih reka bentuk kedai, letakkan produk dan iklankan," jelasnya.

Ujar beliau lagi, pengguna juga tidak perlu memikirkan tentang pembelian domain, konfigurasi server, muat turun perisian atau apa jua keperluan kompleks lain untuk menggunakan lot.my kerana ia dihoskan berasaskan web dan pendaftaran boleh dibuat dalam masa lima minit.

Pengguna juga tidak perlu risau mengenai kos perkhidmatan yang diberikan kerana ia sangat berpatutan.

"Buat masa ini segala yang diberikan adalah percuma dan selepas bulan Jun ini usahawan yang menggunakan portal ini akan dikenakan bayaran yang berpatutan iaitu hanya RM40 sebulan,'' katanya.

Jelas Shahabudden lagi, pengguna juga tidak perlu risau akan ciri keselamatan kerana setiap pemilik kedai akan mempunyai ruang operasi yang selamat.

Sementara itu bagi yang terlepas bengkel pertama Cara Membuka Kedai Online di Kuala Lumpur baru-baru ini boleh menyertai bengkel seterusnya iaitu pada 24 April ini di Johor Bahru, 1 Mei (Alor Setar), 8 Mei (Kuantan ) dan 15 Mei (Kuala Lumpur).

Yuran RM120 seorang dikenakan meliputi makanan, alat tulis dan akhbar Utusan Malaysia percuma.

Setiap bengkel yang diadakan dihadkan penyertaan kepada 50 orang peserta sahaja dan bagi mereka yang berminat boleh hubungi Khairul di talian 017-2659107.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90