MIDAS dilancar

KUALA LUMPUR 21 April - Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) yang dilancarkan hari ini berupaya menyelesaikan pelbagai isu keselamatan sekali gus membantu memartabatkan sistem pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berperanan mengkaji isu-isu kompleks secara holistik dan mengusulkan cadangan bagi merumuskan polisi dan strategi pertahanan negara demi sistem pertahanan yang efektif.

"MIDAS adalah institusi profesional yang bertanggungjawab kepada kerajaan serta kementerian dengan mempelopori hal ehwal pertahanan dan keselamatan melalui penyelidikan yang komprehensif.

"Ia juga digarap untuk menjana pemikiran menerusi seminar dan penerbitan hasil kajian di peringkat nasional dan antarabangsa," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran institusi berkenaan di Pameran Pertahanan dan Perkhidmatan Asia Ke-12 (DSA) 2010, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ahmad Zahid memberitahu, institusi profesional ini melibatkan penyelidikan yang bukan sahaja merangkumi pertahanan dan keselamatan negara tetapi turut berupaya mengkaji pelbagai isu lain.

Selain itu, katanya, MIDAS juga menjadi pemangkin kepada penambahbaikan proses penggubalan polisi dan rumusan strategi pertahanan yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Sehubungan itu, katanya, MIDAS diharapkan dapat menjadi institusi tersohor dalam bidang penyelidikan pertahanan dan keselamatan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url