Mohd. Noor cipta sejarah baru menawan puncak Gunung Kinabalu sebanyak 100 kali secara berterusan setiap hari
Kejayaan tersebut bermakna Jurugambar Utusan Malaysia itu hanya perlu menyempurnakan 11 pendakian bagi mencapai misi menawan puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari.
Ketika ditemui sebaik tiba di Gerbang Timpohon pada pukul 4.35 petang, anak kelahiran Kuala Terengganu itu memberitahu lega dengan pencapaian setakat ini.
''Bagaimanapun saya belum berasa puas selagi tidak mencapai angka 111 yang membawa maksud 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, sepanjang 100 hari mendaki gunung berkenaan pelbagai pengalaman, cabaran dan halangan ditempuhi yang ada ketikanya hampir mematahkan semangat untuk meneruskan misi berkenaan.
Katanya, pendakian 20 hari pertama disifatkan sangat sukar kerana diuji dengan halangan semula jadi seperti hujan, banjir dan sebagainya.
''Apapun semuanya terpulang kepada niat dan sikap kerana saya sentiasa percaya kejayaan hanya akan datang jika kita berusaha mendapatkannya," kata beliau.
Mengenai pendakian hari ini, Mohd. Noor memberitahu, dia yang ditemani mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Danison Manum bertolak pukul 6.47 pagi dan tiba di puncak pukul 12.50 tengah hari.
Menurutnya, kehadiran pendaki-pendaki lain di sepanjang trek pendakian yang sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat, memudahkan lagi pendakian itu.
Projek Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 yang bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia secara keseluruhannya mengambil masa selama lima bulan.
Selepas mengakhiri pendakian di Gunung Kinabalu pada 20 April ini, Mohd. Noor akan meneruskan pendakian baru di Menara Kuala Lumpur pada 8 Mei ini untuk melayakkan dirinya melakar nama dalam Guinness World of Records.
Rekod pendakian Mohd. Noor terdahulu adalah pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo Tanpa Henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).
Akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan TV3 merupakan media rasmi untuk projek tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kota dan UMS.
- MINGGUAN MALAYSIA