Top Ad 728x90

Myopia di kalangan kanak-kanak

20 tahun lalu, fenomena kanak-kanak memakai cermin mata bukanlah sesuatu yang biasa. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Hanya dua sebab utama yang dikaitkan dengan golongan ini ketika itu, satu disebabkan faktor keturunan dan satu lagi kanak-kanak mungkin 'ulat buku.'

Namun kini, situasinya berubah. Tidak kira di mana-mana, semakin ramai kanak-kanak yang terpaksa memakai cermin mata. Malah ada yang seawal usia enam atau tujuh tahun mula mengadu kabur penglihatan terutama untuk pandangan jauh.

Keadaan ini dinamakan myopia (rabun jauh). Biasanya ia disedari oleh guru yang mengajar kanak-kanak tadi apabila mendapati mereka seakan mengecilkan dan menggosok-gosok mata setiap kali memandang ke arah papan hitam.

Prof. Brien Holden dari Carl Zeiss Vision Institute berkata, myopia berlaku kepada 1.6 bilion penduduk seluruh dunia dan angkanya meningkat dengan pantas setiap tahun terutama melibatkan golongan kanak-kanak.

"Pada tahun 2020, dijangkakan jumlahnya akan meningkat hingga 2.5 bilion. Jadi apakah penyelesaiannya?" soal beliau ketika ditemui pada pelancaran kanta Myovision di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di Malaysia sahaja katanya, daripada jumlah 12.5 juta penduduk yang mengalami myopia, 7 juta adalah mereka yang berusia di bawah 16 tahun.

"Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun sahaja berjumlah 2.1 juta orang. Ini merupakan satu angka yang tinggi dan membimbangkan," katanya.

Menurut beliau, mata kanak-kanak membesar dari lahir dan mencapai saiz yang stabil pada satu ketika. Daripada memiliki pandangan sempit ketika lahir, mata akan membesar dan berkembang antara tahun pertama atau kedua untuk menghasilkan pandangan normal.

Ketika mata sedang berkembang, ia bergantung kepada beberapa faktor seperti genetik dan persekitaran.

Ketika ini ibu bapa patut berjaga-jaga dan memastikan anak melalui pengalaman visual yang seimbang.

Apakah myopia?

Ketika kecil, kita mungkin sering disuruh makan lobak merah untuk mendapatkan penglihatan yang baik.

Namun, tahukah anda seberapa banyak pun lobak merah yang anda makan tidak membantu menghalang daripada seseorang itu menghidap myopia.

"Myopia adalah keadaan yang berlaku pada mata, bukan penyakit," kata Prof. Holden.

Secara asasnya, ia berlaku apabila bebola mata terlalu panjang atau sistem lensa pada mata terlalu kuat. Dalam dua-dua keadaan, imej objek dipantul di depan retina, yang mana kawasan sensitif visual terletak di belakang mata menyebabkan imej kelihatan tidak jelas.

Individu dengan myopia boleh melihat objek dekat dengan jelas namun kabur pada pandangan jauh.

Terdapat pelbagai bentuk myopia bergantung pada peringkat umur mana ia berlaku.

l Peratusan kecil (satu hingga dua peratus) kanak-kanak dilahirkan dengan myopia, dikenali sebagai Myopia Kongenital.

l Youth Onset Myopia, paling biasa berlaku di kalangan kanak-kanak berumur antara enam hingga 16 tahun. Ia berbeza di setiap negara antara 10 peratus hingga 80 peratus.

l Adult Onset Myopia, terbahagi kepada dua iaitu awal dan lewat. Berlaku pada jumlah yang kecil di dalam sesuatu negara, antara lima hingga lapan peratus.

Punca

Satu kajian yang dijalankan menunjukkan myopia berpunca daripada kombinasi semula jadi dan persekitaran.

"Faktor keturunan memainkan peranan utama. Jika ibu dan bapa penghidap myopia, maka kemungkinan anak mendapat myopia adalah tinggi iaitu sekitar 30 hingga 40 peratus," kata Prof. Holden.

Buktinya kata beliau, keadaan myopia di kalangan masyarakat Jepun, China dan Korea lebih tinggi berbanding di kalangan masyarakat Eropah, Amerika Syarikat atau Afrika.

Bagi seorang ibu atau bapa yang mengalami masalah ini pula, kemungkinan mendapat myopia sekitar 20 hingga 25 peratus.

Namun myopia juga berlaku bukan disebabkan keturunan iaitu kurang 10 peratus.

Keadaan persekitaran turut mempengaruhi keadaan ini. Kurang aktiviti luar paling mendedahkan individu kepada myopia.

"Menonton televisyen dengan kerap tidak semestinya menyebabkan myopia. Pastikan anda tahu jarak yang selamat, namun yang paling penting, aktiviti luar membantu anda mengelak daripada masalah kesihatan," katanya lagi.

Jelas beliau, peningkatan masalah myopia di kalangan penduduk Asia terutama di bandar banyak dipengaruhi oleh pendedahan kepada kerja visual dekat.

Sebagai contoh, kajian menunjukkan terdapat perangkaan yang tinggi masalah myopia di kalangan kanak-kanak di Shanghai, Seoul dan Osaka berbanding di kawasan pedalaman.

Antara faktor penyumbang myopia:

# belajar

# paras kerja visual dekat (membaca)

# jarak kerja dekat (penggunaan komputer)

# waktu menonton televisyen

# tempoh penggunaan komputer

# pencahayaan

# persekitaran rumah dan tempat belajar/ berkerja

# masa terlibat dengan aktiviti dalam dan luar rumah

Rawatan konvensional

Kaedah yang banyak digunakan untuk memperbaiki myopia adalah penggunaan cermin mata kanta tradisional.

Penggunaan kanta negatif memperbaiki pandangan dengan meletakkan imej tepat pada retina, membolehkan individu dengan masalah ini mampu melihat dengan jelas.

Bagaimanapun, ia tidak melambatkan keadaan myopia di kalangan kanak-kanak.

Kanta lekap turut digunakan oleh individu yang mengalami myopia, kebanyakannya dalam lingkungan umur 15 hingga 40 tahun.

Perbaiki myopia

"Anda tidak boleh merubah genetik mendapat myopia. Namun terdapat langkah yang mampu meminimumkan perkembangannya," kata beliau.

Dengan kanta teknologi Vision CRC positif, imej akan dipantul tepat ( atau hampir tepat) pada bahagian retina.

Berbanding kaedah lama penggunaan kanta negatif, imej akan dipantulkan pada bahagian belakang saraf periferal retina.

Cara mengurangkan myopia di kalangan kanak-kanak:

# Periksa mata seawal usia enam atau tujuh tahun. Penggunaan kanta yang betul mampu menghalang perkembangan keadaan ini daripada menjadi lebih teruk.

# Galakkan kanak-kanak terlibat dengan aktiviti luar.

# Seperti pemeriksaan gigi, bawa anak berjumpa pakar optometri setiap enam bulan sekali bagi memeriksa tahap kesihatan mata mereka (andai mempunyai masalah mata).

# Jangan biarkan anak terlalu dekat ketika melakukan kerja penumpuan penglihatan. Mereka sepatutnya membaca tidak kurang daripada 30 sentimeter dan sekiranya menonton televisyen, jarak minimum adalah tiga meter. Andai melakukan aktiviti tumpuan penglihatan dekat, rehat selama dua minit setiap setengah jam. Ambil masa untuk lihat pandangan jauh (luar tingkap atau pemandangan hijau).

# Pencahayaan baik perlu untuk semua aktiviti.

# Lakukan aktiviti luar rumah sekurang-kurangnya satu jam setiap hari. Aktiviti yang baik antaranya bermain bola sepak, tenis, olahraga dan sebagainya.

Kaedah alternatif memperbaiki myopia:

# Kanta progresif kanak-kanak

Boleh mengurangkan perkembangan myopia, namun kesannya kecil dan tidak konsisten.

# Ortokeratologi

Penggunaan kanta lekap keras untuk meratakan bentuk kornea ketika tidur. Ia memerlukan penjagaan yang teliti dari segi kebersihan.

# Ubat titis farmakeutikal

Beberapa kajian menunjukkan penggunaan ubat titis Atropine dan Perenzipine mampu membantu mengurangkan perkembangan myopia. Kesan jangka panjang penggunaan ubat ini belum dikenal pasti.

# Pembedahan refraktif Lasik

Lasik adalah prosedur surgikal yang mengubah bentuk kornea bagi memperbaiki myopia. Ia hanya dilakukan kepada orang dewasa selepas keadaan myopia stabil.

Panduan memilih dan menjaga cermin mata:

# Boleh memilih bingkai mengikut fesyen semasa, tetapi harus bersandarkan keselesaan si pemakai.

# Bingkai plastik sesuai untuk kanak-kanak kerana ia tahan lasak.

# Cuci kanta dengan pembersih khas atau sabun biasa dan lap sehingga kering.

# Simpan di dalam bekas khas atau tempat selamat ketika tidak memakainya.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90