Pekerja am menang Toyota Hilux MSAM 2010
KUCHING 27 April - Tuah ayam nampak di kaki, siapa sangka tuah seorang pekerja am hanya dengan mengunjungi Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010.
Abd. Wahab Ismail, 46, dari Kampung Tupong Tengah di sini, membawa pulang sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux bernilai lebih RM90,000, selepas diumumkan pemenang utama e-peraduan MSAM 2010 yang bermula seminggu lalu dan berakhir semalam.
Kakitangan Jabatan Pertanian itu langsung tidak menyangka akan memenangi hadiah utama kerana hanya sekali mengisi borang peraduan ketika mengunjungi tapak MSAM di Wisma Bapa Malaysia petang kelmarin.
Bapa lima anak berusia antara tujuh bulan hingga 15 tahun itu yang juga pelabur unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) berkata, dia tergerak hati untuk mengisi soalan-soalan yang disediakan kepada pengunjung atas dorongan anak-anaknya.
''Apa yang saya ingat, saya menjawab banyak soalan sebelum meneka 5,834 biji bola terdapat di dalam kotak misteri yang disediakan penganjur dengan slogan 'Pelaburan Untuk Menjana Masa Depan'.
''Kemenangan ini merupakan anugerah Allah dan sebagai hadiah kepada anak-anak saya," katanya.
Abd. Wahab ditemui pada Majlis Makan Malam 'Terima Kasih' MSAM 2010 yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Hadiah Perodua Alza pula dimenangi Tijan Laing yang berasal dari Jalan Padang Kerbau, Miri.
Dalam pada itu Abd. Wahab berkata, dia tidak menyangka panggilan telefon yang diterima daripada PNB semalam memintanya menghadiri majlis makan malam itu mempunyai makna yang tersirat.
Dia yang kini menggunakan Perodua Kancil tidak berhasrat untuk menjual kenderaan pacuan empat roda yang dimenanginya itu sebaliknya akan menyimpannya sebagai kenangan buat dirinya dan keluarga.
''Saya mengucapkan terima kasih kepada PNB kerana menganjurkan peraduan ini," katanya.
- UTUSAN