Rabu, April 28, 2010

MSAM catat 187,000 pengunjung

KUCHING 27 April - Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 yang berakhir petang semalam di tapak letak kereta Wisma Bapa Malaysia di sini berjaya menarik 187,000 pengunjung melebihi sasaran awal iaitu 150,000 orang.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, secara purata, seramai 27,000 pengunjung telah melawat tapak pameran setiap hari dan merupakan yang kedua terbaik selepas MSAM 2004 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Beliau berkata, setiap program yang dianjurkan PNB di negeri ini sentiasa mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari segi penyertaan bermula dengan penganjuran bersama Kumpulan PNB yang diadakan di Kampung Pinang Jawa, Petra Jaya dan Pesta Beteba di Tebingan Kuching.

''Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti lain seperti Program Ikon Inspirasi, Jejak Pelabur Bijak dan pelbagai aktiviti hibur didik yang diadakan di dalam dewan pameran oleh syarikat-syarikat dan agensi-agensi yang mengambil bahagian turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

''Semua kegiatan ini telah menyumbang kepada penjenamaan PNB sebagai tokoh utama dalam industri saham amanah di negara ini," katanya di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam 'Terima Kasih' MSAM 2010 yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Sarji memberitahu, beberapa skim unit amanah saham PNB masih boleh dilanggan.

Ujarnya, baki unit Amanah Saham 1Malaysia bagi kuota kaum Cina hanya tinggal 50 juta unit atau 1.9 peratus manakala baki kuota bumiputera, kaum India dan lain-lain kaum juga masih ada untuk dilanggan.

"Selain itu, terdapat lagi baki untuk kuota bumiputera iaitu Amanah Saham Wawasan 2020 (616 juta unit), Amanah Saham Didik (275 juta unit), manakala Amanah Saham Gemilang, Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Nasional 2 dan Amanah Saham Nasional 3 Imbang masih dibuka untuk langganan.

"Sehubungan itu, saya berharap rakyat akan terus menyokong PNB sebagai tempat menyimpan dan melabur wang dengan selamat dan menguntungkan," katanya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts