Pembangunan jasmani diutama lahir mukmin seimbang
Islam amat peka terhadap pembangunan aspek jasmani setiap manusia supaya proses transformasi yang dilakukan dapat melahirkan manusia yang seimbang, berilmu, berakhlak dan sihat seterusnya mampu melaksanakan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi dengan baik dan sempurna.
Apabila seseorang Muslim itu sihat bermakna dia mempunyai kekuatan, kemampuan dan fikiran yang cerdas untuk melaksanakan apa saja tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Allah serta tanggungjawab kepada organisasi, persatuan, kelab, rumah tangga, masyarakat atau pemerintahan.
Kekuatan jasmani bererti seseorang itu memiliki daya ketahanan badan melawan penyakit. Oleh itu, mencegah penyakit adalah jauh lebih baik dan lebih mudah daripada merawat. Namun, kita harus ingat sakit dan sihat anugerah Allah. Justeru, bersyukur apabila dianugerah kesihatan tubuh badan. Jangan pula mengeluh jika diuji dengan penyakit kerana ia ujian daripada Allah sebagai kaffarah bagi dosa dilakukan.
Pepatah Arab menyebut: “Akal yang sihat adalah daripada badan yang sihat”. Badan yang sihat akan melahirkan minda aktif untuk membuat sesuatu kebaikan sekali gus meningkatkan kualiti kerja yang membawa kepada kecemerlangan dalam kehidupan seseorang Muslim.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia