Isnin, April 26, 2010

Pembeli penyembur lada perlu berdaftar - Polis

Peniaga penyembur lada perlu mencatatkan butiran peribadi pembeli untuk dijadikan rujukan polis, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata polis akan memantau serta memeriksa premis yang menjual penyembur lada itu agar ia tidak disalahgunakan untuk tujuan jenayah.

"Tiada undang-undang yang dapat mengawal penjualan barangan tersebut secara terbuka jadi kita akan meminta peniaga untuk mengambil butiran peribadi pembeli bagi tujuan rujukan polis," katanya pada sidang media selepas merasmikan minggu kesedaran pencegahan jenayah oleh Syarikat ExxonMobil di Kuala Lumpur.

"Memang bagus dijual untuk mempertahankan diri mangsa daripada penjenayah terutama wanita tetapi kalau tiada kawalan sesiapa sahaja boleh membelinya termasuk penjenayah," katanya.

Sementara itu, Musa berkata indeks jenayah seluruh negara telah mencatatkan penurunan sebanyak 15 peratus pada suku pertama tahun ini iaitu sebanyak 52,366 kes berbanding tahun lalu 61,562 kes.

"Jenayah jalanan pula menurun sebanyak 28 peratus iaitu sebanyak 7,330 kes tahun ini berbanding 9,984 kes pada suku pertama tahun lalu.

"Penurunan indeks ini melibatkan kawasan-kawasan panas di empat buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor," katanya.

Ini menunjukkan Polis Diraja Malaysia telah melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara iaitu penurunan indeks jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang hujung tahun ini.

- Bernama

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts