Pilih IPTA atau IPTS?
Hati saya lebih ke universiti swasta, tetapi keluarga lebih suka jika saya menyambung pelajaran di IPTA kerana lebih dekat dengan mereka. Saya bingung memikirkannya. Bantulah saya Dr.
Gadis bingung
Melaka
JAWAPAN:
Belajar di IPTA atau universiti swasta mempunyai kekuatan masing-masing. Sering kali wujud konflik antara anak dengan keluarga tentang pilihan di mana untuk melanjutkan pelajaran dan juga jenis kerjaya. Perspektif berbeza adalah punca utama kepada konflik ini. Apa yang boleh dilakukan ialah mencari titik pertemuan dari perbezaan perspektif ini. Dalam konteks dilema adik, perbincangan terbuka antara adik dan keluarga dapat membuka ruang kepada setiap pihak untuk melihat dan memahami perspektif kedua-dua pihak. Seterusnya, mengambil keputusan terbaik demi manfaat semua.
Perbincangan boleh bermula dengan menjelaskan mengapa adik suka belajar di universiti swasta. Perbincangan perlu lebih fokus dengan menerangkan kelebihan pilihan berbanding dengan apa yang adik tidak pilih. Contohnya, mengapa adik lebih suka kepada universiti swasta. Adakah kerana ia menawarkan program sarjana muda berbanding diploma ditawarkan IPTA itu? Terangkan juga kebaikan lain yang adik peroleh jika ke universiti pilihan. Contohnya, dari segi kewangan, adakah adik akan mendapat pembiayaan? Bagaimana pula dengan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang ditawarkan? Adakah program yang adik akan ambil ini diiktiraf pihak yang berkaitan? Adalah lebih baik jika adik tunjukkan bukti seperti maklumat bercetak dalam bentuk brosur, untuk menguatkan hujah pilihan.
Lihat sebab utama mengapa keluarga lebih suka adik belajar di universiti tempatan. Jika faktor jarak yang menyebabkan mereka mahu adik belajar di IPTA, adik boleh rasionalkan bahawa tidak semestinya jika adik tidak belajar di IPT yang dekat dengan mereka, adik tidak boleh sentiasa berhubung dengan mereka.
Dalam perbincangan, adik perlu juga mendengar sudut pandangan keluarga mengenai pilihan mereka. Mereka juga ada rasional tersendiri. Hujah yang baik boleh mempengaruhi pandangan orang lain untuk bersetuju kepada pilihan kita. Mungkin itu yang boleh adik lakukan itu memberi keyakinan kepada keluarga untuk bersetuju dengan pilihan mengambil program sarjana muda perakaunan di universiti swasta. Jika gagal mempengaruhi keluarga untuk bersetuju dengan pilihan, adik masih lagi berpeluang melanjutkan pelajaran mengikut pilihan mereka. Apa pun, Dr sentiasa mendoakan adik akan berjaya cemerlang dalam apa pun kursus yang adik ceburi. Selamat berjaya
- HARIAN METRO
saya syahira saya nak tanya apabila tamat study sama ada IPTA atau IPTS bagaimanakah peluang pekerjaannya dan apa perbezaan IPTA dan IPTS dari segi perkerjaan, pembelajaraan, bantuan dan kos pembelajarannya....