BSN sasar RM2 bilion pembelian SSP tahun 2010


Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan untuk mencapai RM2 bilion jumlah pembelian Sijil Simpanan Premium (SSP) menjelang akhir tahun ini.

Naib Presiden Jabatan Perbankan Konsumer BSN, Akhsan Zaini berkata, sejak diperkenalkan pada 1978, jumlah pembelian SSP setakat Mac lalu adalah sebanyak RM1.3 bilion membabitkan lebih 1.5 juta pelanggan.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu, BSN akan mempelbagaikan kaedah pemasaran dan jualan di samping menguatkan jenama SSP melalui iklan komersial.

''Melalui kajian, pelanggan SSP kebanyakannya menetap di kawasan bandar terutama di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

''Kita akan menggiatkan usaha untuk menguatkan jenama SSP di kawasan luar bandar.

''Pendekatan penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan komersial seperti bahasa etnik di Sabah dan Sarawak akan dilakukan agar pengetahuan mengenai SSP dapat diperluaskan,'' katanya pada sidang akhbar mengumumkan penganjuran Mega Karnival SSP di Wisma BSN di sini hari ini.

Akhsan berkata, BSN juga akan mempermudahkan proses penjualan SSP kepada pelanggan yang kini boleh dibeli melalui mesin pengeluar automatik (ATM).

''Kita akan membuka kaunter di beberapa pusat beli-belah dari semasa ke semasa dengan menempatkan kakitangan BSN untuk memudahkan pelanggan membuat pembelian,'' katanya.

Jelas beliau, penjualan SSP kini dikuasai kaum Melayu dengan hampir satu juta pelanggan diikuti Cina (345,290 orang), India (119,020 orang) dan kaum lain (156,820 orang).

Atas dasar itu, katanya, BSN berusaha untuk melebarkan lagi produk SSP kepada kaum-kaum bukan Melayu.

Menurutnya, untuk terus memperkasa produk SSP, BSN secara konsisten turut menambah bilangan hadiah cabutan bagi memastikan SSP sentiasa dinamik.

Pada tahun lalu, katanya, BSN telah menambah bilangan hadiah untuk cabutan SSP sebanyak 1,700 sebulan berbanding 1,610 hadiah pada 2008.

''Untuk tahun ini, bilangan hadiah telah ditambah kepada 1,795 sebulan dengan nilai hadiah berjumlah RM12 juta,'' jelasnya.

Mengenai penganjuran Mega Karnival SSP pula, katanya, ia merupakan penganjuran kali pertama dengan fokus untuk meningkatkan jualan SSP di seluruh negara dan meningkatkan kesedaran terhadap produk tersebut.

''Ia akan diadakan pada 26 hingga 30 Mei ini di pusat beli-belah One Utama di Bandar Utama selain di Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Sarawak.

''Sepanjang karnival berlangsung, BSN mensasarkan jualan SSP sebanyak RM500 juta,'' katanya.

Tambahnya, selain karnival itu, BSN akan melakukan dua cabutan istimewa iaitu Cabutan Penghargaan dan Cabutan Simpanan Tertinggi.

Cabutan Penghargaan bakal diadakan 31 Julai ini dan terbuka kepada pelanggan yang menyimpan RM500 SSP sejak 1978 manakala Cabutan Simpanan Tertinggi menawarkan hadiah kereta BMW 120i Convertible.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url