Kadar kesuburan menurun

 


Malaysia berisiko kehilangan sebahagian besar tenaga kerja produktif dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang jika isu penurunan kadar kesuburan, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan masalah kesihatan mental dalam kalangan belia terus diabaikan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata ketiga-tiga masalah ini berkait rapat dan berlaku akibat gabungan pelbagai faktor, termasuk gaya hidup yang tidak sihat, tekanan hidup serta keadaan persekitaran.

Katanya, penurunan kadar kesuburan bukan hanya berlaku di Malaysia, malah menjadi fenomena global yang dipengaruhi pelbagai faktor termasuk pencemaran alam sekitar, perubahan gaya hidup dan tekanan kos sara hidup.

Beliau berkata, kajian menunjukkan pencemaran udara, air serta pendedahan kepada bahan kimia dalam makanan boleh menjejaskan kualiti sperma lelaki sekali gus menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan.

"Pada masa sama, masyarakat kini cenderung berkahwin lewat dan memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih sedikit kerana tekanan kewangan serta komitmen kerja apabila kedua-dua pasangan bekerja.

"Perubahan ini turut memberi kesan kepada sokongan keluarga dan komuniti yang semakin berkurangan, sekali gus meningkatkan risiko masalah kesihatan mental," katanya

Dr Sharifa Ezat berkata gaya hidup tidak sihat termasuk kurang melakukan aktiviti fizikal serta pengambilan makanan segera dan makanan diproses turut menyumbang kepada peningkatan obesiti, kanser dan peningkatan NCD.

Selain itu, katanya jika kadar kesuburan terus menurun, negara dijangka semakin bergantung kepada pekerja asing ketika jumlah warga emas terus meningkat.

"Tekanan terhadap golongan muda akan bertambah dan risiko pengabaian warga emas juga boleh meningkat.

"Jika beban NCD kekal tinggi, lebih ramai warga emas akan hidup dengan pelbagai penyakit kronik sekali gus meningkatkan kos penjagaan kesihatan negara," katanya.

Seorang lagi Pakar Perubatan Kesihatan Awam juga dari UKM, Prof Dr Azmawati Mohammed Nawi, berkata kempen sahaja tidak mencukupi kerana masyarakat masih berdepan persekitaran yang menggalakkan pilihan hidup tidak sihat.

"Makanan tinggi kalori lebih murah dan mudah didapati terutama sekali ketika waktu bekerja. Pada masa sama, kemudahan untuk bersenam yang terhad menyebabkan masyarakat sukar mengamalkan gaya hidup sihat walaupun pelbagai kempen kesihatan dijalankan.

"Strategi yang dilaksanakan juga perlu lebih bersasar mengikut kumpulan umur, lokasi dan latar belakang sosioekonomi kerana cabaran setiap kumpulan masyarakat adalah berbeza," katanya.

Dr Azmawati berkata kerajaan perlu memperkukuh langkah pencegahan melalui kawalan lebih ketat terhadap pemasaran makanan tidak sihat kepada kanak-kanak dan belia, pelabelan makanan yang lebih jelas, selain memperluas akses kepada makanan sihat pada harga mampu milik.

Beliau berkata, sekolah, institusi pengajian tinggi dan sektor pekerjaan juga perlu menjadikan saringan kesihatan berkala, aktiviti fizikal, program pemakanan sihat serta sokongan kesihatan mental sebagai sebahagian daripada sistem dan bukannya program bermusim.

"Strategi pencegahan juga perlu diperkasakan dengan memperluas saringan kesihatan awal di klinik, tempat kerja, universiti dan komuniti bagi membolehkan penyakit dikesan sebelum berlaku komplikasi.

"Apabila seseorang mengalami serangan jantung, strok atau kegagalan buah pinggang, kos yang ditanggung bukan sekadar rawatan hospital, tetapi turut membabitkan kehilangan pendapatan, produktiviti dan beban kepada keluarga," katanya.

Dr Azmawati berkata, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, Malaysia berisiko berdepan tenaga kerja yang semakin mengecil serta kurang produktif jika trend semasa berterusan.

"Usaha menjaga kesihatan belia perlu diberi keutamaan kerana mereka adalah aset negara. Jika langkah pencegahan tidak diambil dari sekarang, negara berdepan peningkatan kos rawatan selain kehilangan tenaga kerja yang produktif," katanya.

Sumber : Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url