Dua akhbar caj pembaca di Internet


LONDON - Dua akhbar Britain, The Times dan mingguan Sunday Times melancarkan wajah baru laman web sebagai persediaan untuk menjadi akhbar pertama di negara itu yang mengenakan bayaran kepada pembaca di Internet.

Pembaca yang berdaftar akan hanya dapat mengakses laman web akhbar itu secara percuma sehingga akhir Jun depan.

Mereka perlu membayar £1 (RM4.82) sehari untuk langganan edisi harian dan £2 (RM9.64) untuk edisi pada Ahad selepas bulan depan.

Laman terbaru itu www.thetimes.co.uk dan www.thesundaytimes.co.uk menggantikan laman web tunggal sebelum itu, timesonline.co.uk iaitu sebahagian daripada firma News Corporation milik bilionair Australia, Rupert Murdoch.

"Kami mengambil satu langkah besar. Beberapa tahun lalu, maklumat dan berita dapat dibaca percuma menerusi Internet," kata Pengarang The Times, James Harding.

Caj itu adalah sama dengan harga jualan senaskhah akhbar tersebut sekarang.

"Perasaan kami menunjukkan kini sudah tiba masa untuk menghentikan amalan pemberian percuma kerana kami berasa ia boleh merendahkan nilai tinggi kewartawanan akhbar kami," katanya kepada stesen radio Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Jualan akhbar yang ditubuhkan 225 tahun lalu itu semakin merosot manakala banyak pengiklan beralih kepada akhbar dalam talian.

Pada Ogos tahun lalu, Murdoch mengumumkan cadangan bagi mengenakan bayaran untuk semua akhbar di Internet miliknya.

Akhbar kewangan global berpusat di London, Financial Times edisi Internet sudah menetapkan caj untuk beberapa halaman tertentu.

Di Amerika Syarikat, akhbar Wall Street Journal menjadi akhbar pertama di negara itu yang mengenakan bayaran untuk pengguna mengakses sepenuhnya laman webnya.

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url