Yahoo! beli firma internet Indonesia
“Pengguna semakin bergantung kepada peralatan mudah alih untuk berkomunikasi serta mengakses internet dan mereka kini melihat integrasi lancar antara peralatan itu dan komputer,” kata Naib Presiden Kanan Rantau Asia Yahoo!, Rose Tsou.
“Koprol dibangunkan secara unik untuk telefon mudah alih dan dalam tempoh setahun sudah mempunyai asas pengguna yang kukuh,” katanya.
Yahoo! merancang menggunakan kehadiran globalnya untuk memperkenalkan Koprol yang berpangkalan di Jakarta ke bahagian lain di dunia.
Terma kewangan bagi pengambilalihan itu bagaimanapun tidak didedahkan.
Koprol membolehkan pengguna ‘masuk’ ke beberapa lokasi menggunakan pelayar web di telefon mudah alih dan kemudian melihat sama ada pengguna lain berada berhampiran serta apa yang sedang dilakukan.
Fungsinya adalah serupa dengan rangkaian sosial berpangkalan di Amerika Syarikat, Foursquare dan Gowalla.
Pengguna Koprol boleh berkongsi tips, reviu, gambar dan maklumat lain pada masa sebenar dengan pengguna lain yang berhampiran.
Koprol menyediakan tips mengenai perniagaan tempatan seperti kedai atau restoran popular berdasarkan penarafan yang diberi oleh pengguna termasuk ciri-ciri ‘cemerlang’ yang meletakkan tempat digemari ke kedudukan teratas dalam senarai.
Pengguna perkhidmatan itu juga boleh memulakan atau menyertai perbincangan berdasarkan lokasi tertentu dan menjemput rakan untuk menyertainya.
“Kami gembira untuk menyertai Yahoo! dan melihat ke depan peluang menjadi sebahagian daripada peneraju internet global,” kata pengasas bersama Koprol, Fajar Budiprasetyo.
– AFP