Kembalikan kekuatan

Oleh DR. MOHD RIDHUAN TEE

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang trend pengundian dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Dari awal-awal lagi saya sudah menjangkakan fenomena ini.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa BN kehilangan sokongan bukan Melayu. Trend ini bukanlah suatu yang baru atau pelik, tetapi telah berlaku sejak dahulu lagi. Bila Melayu bertanding di kawasan bukan Melayu, Melayu akan kalah. Manakala bila bukan Melayu bertanding di kawasan Melayu misalnya MCA dan Gerakan, bukan Melayu akan menang. Bila parti dominasi etnik bukan Melayu seperti MCA atau Gerakan bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu, parti ultra kiasu akan menang. Keadaan mungkin sedikit berubah pada Pilihan Raya Umum 2008. Kelihatan seolah-olah bukan Melayu mengundi Melayu dengan kemunculan parti sekutu ultra kiasu. Sebenar tidak, jika sekutu ultra kiasu yang memerintah seperti di Selangor, sebenarnya itulah kemenangan parti ultra kiasu.

Terus terang saya katakan dari segi keterbukaan, orang Melayu tidak ragu-ragu untuk mengundi bukan Melayu. Namun, belum tentu bukan Melayu sanggup mengundi Melayu. Siapakah yang lebih terbuka sebenarnya?

Melayu atau bukan Melayu? Saya tidak katakan semua bukan Melayu bersikap sedemikian. Dengan sebab itu, dalam apa jua aspek berkaitan dengan Melayu, kita gagal untuk memperkasakannya kerana kita tidak mempunyai rakan setia. Rakan kita kadangkala mengambil sikap menikam dari belakang.

Seolah-olah memperlihatkan UMNO diperalatkan untuk mencapai kepentingan tertentu atau mendapatkan lebih lagi apa yang telah dapat. Berterima kasihlah kepada Perdana Menteri kerana telah mengotakan janjinya dalam kempen pilihan raya di Hulu Selangor baru-baru ini. Saya yakin ada orang akan berkata, peruntukan tersebut diambil daripada cukai rakyat, apa yang hendak dihairankan. Saya yakin yang banyak bercakap itupun tidak pernah bayar cukai atau selalu mengelakkan diri daripada dikenakan membayar cukai.

MCA dan Gerakan menuduh Perkasa yang menjadi punca sokongan bukan Melayu beralih arah. Itulah jawapan simplistik barisan kepimpinan baru mereka yang begitu agresif berbanding dengan kepimpinan sebelumnya yang agak berhikmah. Justeru, tidak hairan barisan kepimpinan baru ini dipilih mereka walaupun mempunyai skandal yang sukar untuk diterima oleh norma masyarakat timur. Saya yakin kejayaan mereka mempunyai kaitan rapat dengan sikap ultra kiasu dan pakatan senyap dengan parti ultra kiasu. Pada saya, tidak perlulah kita menuduh orang atau menuding jari untuk menutup kelemahan sendiri. Muhasabah diri sahaja. Apakah kita benar-benar mempunyai semangat setiakawan atau kawan makan kawan?

Kawan sebangsa saya berkata MCA dan Gerakan sudah tidak relevan lagi kepada bukan Melayu kerana dikatakan terlalu mengikut telunjuk UMNO? UMNO dikatakan tidak lagi disukai oleh bukan Melayu? Apakah dakwaan itu benar? Kajian secara intensif perlu dibuat, bersekali dengan perubahan hidup bukan Melayu di bawah pemerintahan UMNO selama 52 tahun. Adakah hidup mereka bertambah baik atau sebaliknya. Lu fikirlah sendiri.

Sebenarnya politik bukan Melayu amat terancang rapi. Kita sahaja sebagai umat Islam yang terlalu akomodatif, kadangkala mudah dipergunakan dan bergaduh sesama sendiri seolah-olah tidak ada lagi hubungan persaudaraan dan keagamaan. Semua orang tahu dan orang bukan Melayu pun lagi tahu, bahawa bandar-bandar tetap akan membangun walaupun siapa juga wakil rakyat sama ada parti yang memerintah kerajaan mahupun pembangkang. Itulah beruntungnya mereka yang berada di bandar, ruginya mereka yang berada di luar bandar. Maknanya, siapapun yang menang, mereka tidak akan rugi sedikitpun. Malah, mereka akan mendapat habuan dengan lebih banyak kerana dapat makan sana sini dan mendesak itu dan ini. Justeru, kesempatan ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya.

Renung balik

Kadang kala tidak boleh salah bukan Melayu juga. Cuba renung balik apa yang kita buat selama ini. Kita sebenarnya jarang bertegas. Kita asyik melayan, mementingkan kuasa dan menjaga jawatan. Kita takut kehilangan kedua-duanya ini, maka kita terus memberi muka. Misalnya, pada hari Selasa lalu saya menghadiri Perbincangan Meja Bulat Memartabatkan Bahasa Melayu 2010 anjuran Kementerian Pelajaran. Sebelum ini saya telah menghadiri berpuluh-puluh seminar dan wacana untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Saya berasa teramat pelik kenapa perbincangan ini perlu dibuat dalam sebuah negara Melayu, pemimpinnya Melayu, rajanya Melayu, bahasa kebangsaannya Melayu dan berbagai lagi Melayu didominasi oleh Melayu. Sepatutnya ia sudah terdaulat, terdarjat atau terangkat secara automatik di buminya sendiri, bukan bumi asing. Namun, tidak sedemikian yang berlaku. Orang Melayu dan bahasa Melayu seolah-olah merempat di bumi sendiri.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url