Penasihat PKR mahu wujud 3 Timbalan Perdana Menteri

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, mendedahkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang untuk mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri jika rancangan 16 September berjaya direalisasikan.

Zahrain keluar daripada PKR selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Pembangkang itu, berkata jawatan Timbalan Perdana Menteri itu akan disandang wakil Pas, DAP serta pemimpin dari Sabah atau Sarawak.

“Anwar bercadang mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri jika rancangan 16 September menjadi realiti. Beliau sanggup melakukan apa saja demi mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri tanpa memikirkan sama ada ia boleh dibuat atau tidak.

“Sekarang, beliau janji hendak lantik seorang pemimpin Cina untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri II pula kerana sedar sokongan orang Melayu terhadapnya semakin terhakis. Beliau hanya mahu sokongan daripada orang Cina,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Anwar, dalam wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina, berjanji mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik dari kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Ketua Pembangkang itu mendakwa dirinya dipilih sebagai calon Perdana Menteri.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Zainal Abidin Osman, menganggap janji dibuat Anwar melantik pemimpin DAP menjadi Timbalan Perdana Menteri II tidak mengejutkan.
“Anwar terlalu teruja supaya agenda peribadinya untuk menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang dan sanggup menyatakan apa saja janji asalkan misinya berjaya.

“Saya tidak terkejut kalau selepas ini beliau berjanji untuk wujudkan lima jawatan Timbalan Perdana Menteri. Saya yakin ini tidak akan terjadi,” katanya selepas majlis Umno Juara Rakyat Peringkat Nibong Tebal di Sungai Acheh, semalam.

Zainal Abidin berkata, formula dilaksanakan Barisan Nasional (BN) kini sudah memadai dengan pemimpin Cina diberikan jawatan penting dalam Kabinet bagi memberi peluang kepada mereka untuk berkhidmat.

“Ia berjalan dengan baik dan selaras dengan konsep 1Malaysia digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,”katanya.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url