Perbetul niat untuk bawa bekalan ke dunia akhirat

Kehidupan manusia di dunia ciptaan Allah bersifat sementara. Nabi Muhammad pernah mengibaratkan bahawa hayat manusia di atas muka bumi ini seperti seorang pengembara. Apabila tiba masanya, dia diminta pulang bersama tujuan pengembaraan.

Abdullah bin Umar berkata, Rasulullah memegang bahuku seraya berkata: “Jadikanlah diri kamu di atas muka bumi ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Ibnu Umar berkata: Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu menjelang waktu pagi. Apabila kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu menjelang waktu petang. Gunakanlah peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa hidup untuk persediaan matimu.” – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jelas, bekalan yang perlu dibawa ke negeri akhirat sebagai mana dikehendaki Allah bakal menentukan ke arah mana harus ditujui. Memilih syurga bererti memilih pengorbanan yang perlu dilakukan di dunia ini.

Pengorbanan untuk mencari jiwa yang murni dengan menjadi insan yang sentiasa melaksanakan perintah Allah dan menghindari larangan-Nya. Dua cabaran utama harus dihadapi iaitu kehendak syahwat dan godaan iblis yang berjanji untuk mengheret sebanyak mungkin manusia ke dalam kelompoknya.

Firman Allah bermaksud: “Syaitan menakut-nakutkan kamu dengan kemiskinan dan menggalakkan kamu berbuat kejahatan sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurniaan. Dan Allah Maha Luas kurniaan lagi Maha Mengetahui.” – (Surah al-Baqarah: 268)

Sebagai umat Islam, kita berpegang bahawa al-Mizan iaitu alat timbangan Allah mampu mengakses dan menimbang buku amalan catatan sama ada yang baik atau sebaliknya. Bergembiralah golongan yang menerima buku amalan dengan tangan kanan di hari akhirat kelak.
Umat Islam harus memahami segala tindakan, perbuatan, perkataan dan perwatakan peribadi adalah dikira ibadat jika diniatkan kepada Alah seperti firman bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam kitab amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam kitab amalnya).” – (Surah al-Zalzalah: 7-8)

Setiap amalan akan yang dicatatkan adalah bekalan untuk dibawa ke akhirat. Seorang penjual pasar malam yang menjalankan urus niaga dengan jujur dan mengutamakan keuntungan sederhana demi memenuhi keperluan pengguna pun turut dijanjikan pahala.

Seorang isteri mentaati perintah suami yang tidak bertentangan dengan syariat Islam serta melayan suami dengan baik, dijanjikan pahala dan keampunan Allah.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu ada dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanya laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah hingga ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaannya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat melaknat hingga ia pulang.” – (Hadis riwayat Al Bazzar)

Begitu juga perbuatan membuang benda boleh membahayakan orang ramai yang lalu-lalang di jalan. Harga keselamatan orang yang melalui jalan itu walaupun perbuatannya dianggap remeh, sebenarnya mengundang keampunan Allah kepada pelakunya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Seorang lelaki melalui sebatang jalan dan ternampak ranting pokok yang berduri lalu dialihkannya ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki itu dan diberikan keampunan ke atasnya.” – (Sahih al-Bukhari)

Menyesali waktu yang lepas adalah perkara sia-sia. Justeru, menjadikan hari ini sebagai permulaan untuk membetulkan kesilapan lalu adalah jawapan yang mungkin membawa kita ke ruang keinsafan dan mengundang perubahan.

Imam Hassan al-Banna menyatakan dalam kitabnya Risalah at-Ta’lim: “Kewajipan yang perlu kita sempurnakan adalah lebih banyak daripada masa yang kita ada. Maka sepatutnya tidak ada satu saat dibiarkan berlalu tanpa kita menggunakannya dengan melakukan perkara berfaedah.”

Menghampiri taubat dengan rasa ikhlas akan membuahkan sinar baru dalam kehidupan. Sejahat-jahat manusia seandainya taubatnya diterima Allah, pasti darjatnya mampu mencapai di kedudukan yang tinggi. Seseorang yang taubatnya diterima Allah seperti bayi baru dilahirkan.

Firman Allah bermaksud: “Hai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama dengannya; cahaya mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka; mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah cahaya bagi kami dan ampunlah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” – (Surah at-Tahrim: 8)

Oleh itu, perbetulkan niat kerana Allah supaya bekalan yang dibawa di akhirat nanti dapat membantu saat ditanya Allah di hari akhirat apakah bekalan yang dibawa daripada pengembaraan di dunia ini.

Firman Allah bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?” – (Surah al-Mukminun: 115)

Sementara tubuh badan masih sihat dan ajal belum tiba, lakukan tugas mencari sebanyak mungkin bekalan untuk dibawa ke dunia akhirat serta pastikan bekalan itu mampu menjawab tujuan kita dilahirkan di dunia.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url