Amanah Raya, YWM tawar produk wakaf
Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad, berkata kerjasama itu membolehkan Kumpulan Amanah Raya memberi perkhidmatan setempat yang lengkap dan menyokong YWM sebagai benefisiari kepada penulis wasiat yang ingin membuat pemberian amal jariah.
Katanya, pada masa ini terdapat permintaan di kalangan pelanggan ARLS yang mahu perkhidmatan wakaf dengan menamakan YWM sebagai penerima harta alih dan tidak alih dalam wasiat mereka.
“Menerusi kerjasama strategik ini dijangkakan lebih ramai anggota masyarakat akan tertarik membuat amal jariah menerusi wasiat ARLS kerana diuruskan institusi profesional,” katanya selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara ARB dan YWM di Kuala Lumpur, semalam.
ARLS diwakili Ketua Eksekutifnya, Rafie Omar manakala YWM oleh Ketua Eksekutifnya, Azri Ahmad. Ia disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Pengerusi YWM.
Menerusi MoU itu, YMW juga akan mempromosi dan menggalakkan masyarakat Islam yang ingin membuat sumbangan amal jariah kepada entiti wakaf kebangsaan itu melalui wasiat ARB.
Dalam pada itu, Dusuki berkata, ARLS yang ditubuhkan pada 2007 berperanan dalam urusan wasiat termasuk pendaftaran, penyediaan, penyimpanan wasiat serta pentadbiran harta pusaka berwasiat.
Katanya, sehingga 30 April lalu, syarikat itu sudah mendaftarkan 332,091 wasiat yang mana 297,890 daripadanya adalah wasiat Islam.
Beliau berkata, wakaf adalah satu instrumen kepada pengurusan pewarisan Islam yang diamalkan sejak dulu, yang dibuat secara lisan dan dilaksanakan dengan penuh amanah.
“Bagaimanapun, keadaan kini sudah berbeza dan ia perlu dibuat secara bertulis menggunakan dokumentasi yang sah serta diuruskan golongan profesional mengikut keinginan pewasiat selaras kehendak syarak,” katanya.
- BERITA HARIAN