Platform terbaik kerjaya bomba

Hari Anggota Bomba 2010 yang sedang berlangsung di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka dari 8 Mei hingga 12 Mei ini boleh menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan kerjaya itu kepada masyarakat.

Antara aktiviti yang diadakan ialah pameran dan kempen keselamatan kebakaran, kebombaan dan penyelamatan, dan pelbagai pertandingan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Malaysia, Datuk Hamzah Abu Bakar berkata, pameran itu diharap dapat menarik lebih ramai belia menyertai pasukan bomba.

Menurutnya, pada tahun 80-an minat belia untuk menyertai bomba tidak begitu memberangsangkan.

''Sebelum ini, tidak banyak pendedahan mengenainya. Kini, skop kerjaya semakin luas dan JBP juga telah mempunyai kemudahan helikopter, bot dan Unit Canine atau Unit Anjing Pengesan bagi menyelamat dan mengesan mangsa. Justeru, kerjaya ini memerlukan mereka yang mempunyai pelbagai kepakaran, termasuklah juruterbang dan doktor haiwan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Sejajar dengan itu, katanya, kerjaya bomba kini memerlukan lebih ramai lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melahirkan pakar-pakar dalam bidang sains bagi membantu siasatan.

Jelas Hamzah, penyertaan golongan lepasan IPT itu mampu memastikan JBP Malaysia bertaraf dunia dan setanding dengan negara maju.

Katanya, nisbah anggota bomba berdasarkan setiap penduduk kini ialah seorang anggota bagi setiap 2,000 penduduk. Jumlah Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara pula, 253 buah.

Beliau menambah, kerja-kerja menyelamat yang turut dilakukan oleh pasukan bomba adalah bangunan runtuh, kemalangan dan menangkap ular.

''Sementara khidmat khas yang diberikan JBP adalah membantu mangsa dalam lif yang tersangkut dan khidmat tertentu dalam penggambaran filem," kata Hamzah.

Mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahun 2009 bagi anggota JBP sampai ke tempat kebakaran dan kecemasan mengikut jadual yang ditetapkan, pencapaian yang dicatatkan adalah 96 peratus.

''Kaedah pengukuran yang digunakan untuk anggota JBP sampai ke tempat kejadian dibahagikan kepada tiga iaitu Zon A, kurang 10 minit; Zon B iaitu 10 sehingga 20 minit dan Zon C, lebih daripada 20 minit," katanya.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi oleh anggota JBP pada hari ini, Hamzah berkata, pendedahan kepada pelbagai insiden kebakaran termasuk bahan-bahan kimia merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi.

''Biarpun warga kerja JBP perlu mengikuti latihan kecergasan untuk memelihara kesihatan, namun pendedahan ini tetap ada risiko.

''Sebab itulah, anggota yang berusia lebih 40 tahun diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan. Bagi membantu waris anggota bomba yang meninggal dunia dan hilang upaya, Kumpulan Wang Kebajikan Anggota Bomba diwujudkan mengikut Akta Bomba," katanya yang bakal bersara pada Oktober ini setelah berkhidmat sejak tahun 1984.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url