Sukarnya beli sekilogram gula!


DUNGUN 16 Mei - Tunjuk kad pengenalan dan surat nikah untuk membeli sekilogram gula!

Bunyinya seperti jenaka. Namun itulah yang perlu dilalui oleh seorang pengguna di daerah ini ekoran krisis gula yang meruncing kebelakangan ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Siti Marsila Sheikh Abdul Rahim, 24, bersama suaminya Mohd. Faizul Hashim, 28, keluar ke bandar Dungun untuk mendapatkan bekalan gula yang semakin sukar diperolehi.

Pada awalnya, Mohd. Faizul ke sebuah kedai runcit di bandar Dungun untuk mendapatkan sekilogram gula namun setelah menunggu hampir sejam, dia terkejut dengan tindakan peniaga kedai runcit itu yang memintanya menunjukkan kad pengenalan.

"Suami saya yang hairan dengan tindakan peniaga berkenaan terus menunjukkan kad pengenalan tetapi terkejut apabila peniaga itu memaklumkan pula dia hanya menjual gula kepada rakyat Terengganu sahaja.

"Memandangkan nombor kelahiran (03) tertulis di kad itu yang menunjukkan dia berasal dari Kelantan, peniaga itu tidak mahu menjual gula kepada suami saya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Siti Marsila, mereka kemudiannya pergi ke kedai lain dan berdepan dengan insiden yang lebih memeranjatkan.

Jelasnya, dia yang terpaksa berbaris panjang di kaunter bayaran terkejut kerana peniaga itu memaklumkan dia tidak boleh membeli gula kerana "masih kanak-kanak".

"Ia mungkin kerana tubuh saya agak kecil dan kelihatan seperti kanak-kanak namun setelah saya memaklumkan bahawa saya telah berkahwin, lain pula yang diminta oleh peniaga itu.

"Dia mahu saya tunjukkan surat nikah untuk membuktikan saya telah berkahwin dan layak membeli sekilogram gula dan bukannya daripada sindiket membeli gula," jelasnya yang amat kecewa dengan kejadian itu.

Tambahnya, bagi mendapatkan sekilogram gula, dia dan suami terus pulang ke rumah untuk mengambil surat nikah walaupun masih bingung mengapa perkara itu mesti berlaku.

Ujar Siti Marsila, setelah membawa surat nikah berkenaan, barulah dia diberikan sekilogram gula - pembelian yang paling sukar dalam hidupnya selama ini.

Sementara itu, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, pihaknya memandang serius kes tersebut dan akan melakukan siasatan segera.

"Saya nasihatkan jika pengguna menghadapi masalah yang sama, mereka boleh terus berjumpa dengan anggota penguat kuasa di setiap daerah untuk mendapatkan bekalan gula," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Nashrul Sabri
    Nashrul Sabri Isnin, 17 Mei 2010 pada 9:59:00 PTG SGT

    Assalamualaikum,

    Bukan setakat gula sahaja. Bekalan ikan pun semakin berkurang sekarang. Bukan kerana nelayan tidak boleh pergi ke laut untuk menangkap ikan,tetapi kerana ikan berkurangan di laut.

    Musykil betul. Ada yang berpendapat pantai timur akan dilanda tsunami. Wallahua'lam. Semua tu kuasa Allah SWT. Sediakan payung sebelum hujan. Marilah sama-sama kita berdoa agar dijauhkan dari bala bencana dari Allah.

    Na'uzubillah..

Add Comment
comment url