RMKe-10: Talent Corporation akan ditubuh

Dalam usaha negara mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation (TC), yang berfungsi untuk mengenal pasti kekurangan kemahiran di sektor utama dan menarik serta mengekalkan modal insan berkemahiran yang diperlukan.

Badan itu juga berfungsi untuk meneraju inisiatif menarik rakyat Malaysia berkemahiran tinggi di luar negara untuk pulang berkhidmat di dalam negara. Ketika ini, lebih 700,000 rakyat Malaysia berkemahiran bekerja di luar negara.

TC akan menyediakan Rangka Tindakan Modal Insan Berkemahiran yang bersepadu untuk tujuan itu, membabitkan kerjasama sektor awam dan swasta pada 2011, selain menjadi pusat sehenti bagi memudahkan urusan dengan agensi kerajaan yang berkaitan.

Badan ini akan mengenal pasti dan membuat unjuran keperluan modal insan berkepakaran dalam sektor ekonomi utama dari semasa ke semasa dan membangunkan inisiatif khusus bagi mempercepatkan bekalan modal insan berkepakaran yang kritikal.

Selain itu, TC juga akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan perwakilan Malaysia untuk merancang dan melaksana strategi dalam menarik modal insan asing, terutama mereka yang berkepakaran dalam sektor ekonomi yang diberi keutamaan atau bakal siswazah dari universiti terkemuka dunia.

Program menarik dan mengekalkan modal insan sedia ada seperti Program Menggalak Warga Negara Malaysia Yang Berkepakaran Yang Bekerja Di Luar Negara Pulang Ke Malaysia dan Program Brain Gain akan digabungkan di bawah TC dan diperkukuh untuk memastikan penyelarasan yang lebih baik, lebih fokus dan memberi impak yang lebih besar.

Untuk tujuan itu, kerajaan juga menambah baik prosedur penggajian dan memudahkan pemprosesan membabitkan semua agensi berkaitan bagi menarik minat warga tempatan di luar negara dan warga asing berkhidmat di negara ini.
Sementara itu, dalam usaha kerajaan meningkatkan kecekapan pasaran buruh negara, undang-undang perburuhan berkaitan akan dikaji semula bagi memastikan keseimbangan antara kelenturan pasaran buruh dan jaminan pekerjaan, selain meningkatkan kecekapan penyelesaian pertikaian tenaga kerja.

Dasar penggajian pekerja asing akan diperkemas dengan memperkenal kadar levi berbeza mengikut nisbah pekerja asing kepada jumlah pekerja dalam syarikat. Ia berbeza mengikut tahap kemahiran pekerja asing, yang mana kadar lebih tinggi dikenakan bagi pekerja kurang mahir dan kadar itu akan ditingkatkan setiap tahun.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url