Strategi baru Hot FM
Bermatlamat lebih memantapkan tiga buah stesen radio yang bernaung di bawahnya, Rangkaian Radio Media Prima telah menyusun beberapa pengisian baru. Bagi Hot FM, Fly FM dan One FM, ia dianggap mampu memacu kejayaan masing-masing dalam lapangan penyiaran radio tanah air selepas ini.
Berterus-terang, matlamat utama rangkaian radio tersebut bukan bertujuan mahu bersaing dengan stesen radio swasta lain. Perubahan yang dilakukan sebaliknya sekadar memperbaiki kekurangan yang ada demi menyalur hiburan dan maklumat kepada pendengar di seluruh negara.
Jatuh di tangga ketiga selepas ditundukkan Sinar FM dan Era FM dalam kajian AC Nielson baru-baru ini, stesen radio popular dengan tagline Lebih Hangat Daripada Biasa itu menampilkan AG sebagai penyeri Hot FM AM Krew bergandingan dengan penyampai sedia ada, Fara Fauzana dan Faizal Ismail pukul 6 hingga 10 pagi.
Selain bergelar penyampai pagi, AG atau nama berdaftar Muhammad Azmir Selamat bertanggungjawab sebagai Man On The Street berperanan merapatkan Hot FM dan pendengar.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul, relevan AG dipilih sebagai penyampai pagi selepas pihaknya menjalankan kajian grup fokus serta pandangan diterima daripada peminat sebelum ini.
"Idea ini saya dapat ketika AG mengacara Malaysia Hari Ini (MHI) kerana dia sering bertindak sebagai pengacara buat lintasan luar. Daripada situ, kami campur konsep ini jadi sebahagian pengisian dalam segmen pagi Hot FM. Dengan pengalaman dimiliki, saya percaya AG mampu melakukan yang terbaik.
"Dalam setiap asas penyiaran radio di seluruh dunia, program pagi sangat penting kepada orang ramai. Oleh itu, kami menonjolkan kelainan agar ia mampu menarik tumpuan pendengar," katanya ketika ditemui pada sidang media Strategi Rangkaian Radio Media Prima di Petaling Jaya, Selangor minggu lalu.
Sambung Seelan, Hot FM juga sedang mencari pasangan untuk Ikhwan yang kini bersendirian mengendali segmen Hot FM Zon setiap Isnin hingga Jumaat pukul 8 dan berakhir 12 tengah malam.
"Kami mengalu-alukan bakat baru menjadi penyampai malam bersama Ikhwan. Kriteria utama, mereka perlu muda dan memiliki bakat. Sesiapa berminat boleh mengunjungi laman web kami di www.hotfm.com.my serta menghantar demo dan profil. Kalau tersenarai, barulah mereka dipelawa membuat uji bakat tertutup," jelas Seelan.
Dalam waktu sama, Leya dan Tini masih kekal dalam segmen Menu Muzik Hot FM bermula 10 pagi hingga 4 petang. Anne yang sebelum ini menemani Ikhwan diserap ke Hot FM Jam bersama Kieran mulai pukul 4 petang hingga 8 malam.
Bagi membantu industri seni tempatan, Hot FM akan melancarkan bengkel Hot FM Kita Punya berlangsung sekitar Julai nanti. Bengkel itu memperkenalkan ikon muzik tanah air antaranya ialah Ahmad Izham Omar, Audi Mok dan Faizal Tahir berkongsi petua serta pengalaman kepada penggiat seni baru.
Selain Hot FM yang muncul dengan strategi baru, Fly FM juga punya pembaharuan tersendiri dengan memunculkan secara eksklusif pengacara American Idol, Ryan Seacrest bersiaran pukul 1 hingga 4 petang.
Individu terkenal dalam penyiaran radio itu akan memberi informasi menarik mengenai perkembangan terkini berlaku di industri seni antarabangsa. Ia mencakupi himpunan gosip panas dan wawancara bersama selebriti Hollywood.
Selain acara tahunan Flyniversary diadakan November nanti, Fly FM juga akan memfokuskan demam Piala Dunia 2010 menerusi segmen Fly FM Street Strika dengan merekrut 18 buah pasukan berentap pertandingan bola sepak jalanan bagi merebut hadiah berjumlah RM12,000.
Tidak ketinggalan, Fly FM Soccer For Dummies menemui pendengar apabila peminat dengan mudah membawa pulang wang tunai RM1,000 dengan hanya menjawab soalan mudah berkaitan bola sepak dan Piala Dunia.
Satu lagi pembaharuan yang bakal berlaku adalah kehadiran program carta, Fly FM Top 10 @ 10, diadakan setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Terkini, Fly FM dimantapkan dengan Nadia, Phat Fabes dan Ben untuk segmen The Pagi Show, Hunny Madu (10 pagi hingga 1 petang), Ryan Seacrest (1 hingga 4 petang), Prem dan Jules (Fly FM Rush Hour) dan Hafiz (Fly FM Night Flight).
Enggan ketinggalan, One FM kini dalam perancangan mencari penyampai baru. Misi DJ Search akan bermula secepat mungkin untuk disatukan dengan Nick yang baru sahaja menyertai keluarga stesen radio berbahasa Cina itu. Buat masa ini, Nick bersiaran bersama artis tempatan, Ze Chen sehingga berakhir pencarian bakat baru itu.
Segmen pagi dikendalikan oleh Jane, Jack dan Ryan bakal disertai oleh Shanghai Jane yang merupakan karakter berperanan menghidangkan cerita-cerita panas berkisar selebriti Cina tempatan, Hong Kong, Taiwan dan sebagainya.
Sempena Piala Dunia juga, One FM bakal menghangatkan atmosfera dengan Song Ole-Ole apabila 64 lagu dimuatnaik ke laman web stesen radio dengan tagline You Are My No. 1 itu. Semua lagu akan berentap sesama sendiri menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pendengar.
Sebanyak RM50,000 boleh menjadi milik pemenang jika mereka boleh menyusun 10 lagu mengikut kedudukan tepat dengan hasil undian Song Ole-Ole berserta slogan terbaik. Dalam pada itu, Fresh Release Goes Live akan menemui para pencinta muzik pada Jumaat pertama setiap bulan secara keseluruhan.
- KOSMO!