Helikopter terhempas: Dr Ainul disahkan meninggal dunia


 

"Kementerian Kesihatan (KKM) menghubungi keluarga dan memaklumkan bahawa Dr Ainul yang terbabit nahas helikopter berkenaan meninggal dunia."

Demikian disahkan oleh Nureez Mohd Pauzi yang juga adik ipar kepada Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 32, yang dikenal pasti sebagai antara lima individu berada dalam helikopter dilaporkan terhempas serta terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi, Sarawak, petang tadi.

Beliau berkata, KKM membuat panggilan berkenaan kepada suami Dr Ainul Baraah, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, kira-kira jam 4 petang sebelum lelaki itu memaklumkan kepada keluarganya di Kelantan.

"Kami sekeluarga kini berada di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini untuk ke Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Sarawak pada subuh esok.

"Kami masih berada dalam keadaan terkejut, dan penerbangan paling awal ke Sarawak ialah pada pagi esok.

"Sebaik saja menerima panggilan itu, kami sekeluarga terus membeli tiket penerbangan untuk ke Sarawak," katanya ketika dihubungi.

Nureez berkata, Dr Ainul Baraah yang berasal dari Kota Bharu, baru bertugas di sebuah hospital di Miri, Sarawak, sejak tahun lalu.

"Sebelum ini, beliau bertugas di Hospital Tanah Merah (HTM) sebelum berpindah ke sana kerana mengikuti suaminya yang bertugas sebagai guru di Miri.

"Setakat ini, kami sekeluarga tidak tahu Dr Ainul mahu ke mana (ketika) menaiki helikopter berkenaan, memandangkan suaminya juga berada dalam keadaan terkejut dan hanya memaklumkan kepada kami berhubung panggilan daripada KKM," katanya.

Terdahulu, sebuah helikopter BO-105 membawa lima individu termasuk juruterbang, dilaporkan terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan, petang tadi, mengesahkan insiden berkenaan.

CAAM dipetik berkata, pihaknya menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Selain Dr Ainul Baraah, empat individu lain berada dalam helikopter itu ketika kejadian ialah juruterbang dan tiga lagi kakitangan KKM termasuk dua jururawat.

Sumber : Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url