Top Ad 728x90

Susuli dengan mutu khidmat posmen

Mulai 1 Julai, seramai 15,000 kakitangan Pos Malaysia Berhad termasuk posmen dan kerani pos akan menerima kenaikan gaji yang berkuat kuasa pada tarikh ter sebut.

Mereka bakal menikmati kenaikan gaji pada kadar antara 11 hingga 19 peratus dan elaun-elaun berkaitan kakitangan pos yang setara dengan gaji dan elaun semasa kakitangan kerajaan.

Tiada siapa boleh mempertikaikan bahawa posmen di negara ini patut menerima tangga gaji yang lebih baik. Gaji pokok posmen sekarang ialah RM610 manakala kerani pos ialah RM710 iaitu di bawah paras kemiskinan dan pada tahap yang tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Perkara kenaikan gaji itu hanya timbul pada 30 Mac lalu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad, akan melepaskan kesemua saham dalam Pos Malaysia iaitu Jabatan Perkhidmatan Pos yang diperbadankan pada 1992.

Ketika mengumumkan rangka kerja Model Baru Ekonomi (MBE), Najib memberi gambaran sepintas lalu mengenai bentuk transformasi Malaysia dalam tempoh 10 tahun untuk mengubah negara kepada ekonomi kelas pertama khususnya melahirkan golongan pekerja berpendapatan tinggi.

Pelepasan pegangan saham oleh Khazanah Nasional dalam Pos Malaysia mungkin menjadi contoh sekelip mata oleh Najib mengenai maksud 'transformasi ekonomi' dengan mengisyaratkan transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi sebuah entiti swasta secara menyeluruh.

Mengikut sasaran rancangan MBE dan Rancangan Malaysia Ke-10, tumpuan adalah bagi 40 peratus golongan tenaga kerja menerima pendapatan bawah RM1,500 sebulan dan 40 peratus lagi bawah RM3,000, ini bermakna 80 peratus tenaga kerja di negara ini akan melangkah dari golongan berpendapatan rendah kepada tinggi dalam tempoh 10 tahun.

Pos Malaysia menjadi pendahulu dalam perjalanan transformasi dengan melangkah rantaian nilai hasil kedua-dua sistem dan petugas apabila mengamalkan peningkatan automasi dan semakan gaji.

Penyusunan semula tangga gaji ini diharap kerjaya posmen dan kerani pos lebih menarik, manakala perkhidmatan pos menjadi lebih cekap, produktif dan inovatif.

Bagi membiayai penyusunan semula tangga gaji dan elaun, ia akan disokong dengan kenaikan harga setem serta kos penghantaran surat dan bungkusan ke luar negara dan di dalam negara berkuat kuasa 1 Julai ini.

Awal tahun ini, anggota polis menikmati kenaikan gaji dan ia disusuli dengan langkah yang masih tertangguh bagi pengawal keselamatan.

Setelah kakitangan Pos Malaysia mendapat habuan masing-masing, rakyat mengharapkan mereka menyediakan perkhidmatan pos yang berkualiti tinggi, setanding dengan perkhidmatan organisasi pos antarabangsa.

Pos Malaysia telah menyatakan kenaikan tarif bagi perkhidmatan mereka akan digunakan secara efektif bagi meningkatkan produktiviti menerusi automasi, inovasi dan kemahiran semula tenaga kerjanya.

"Perkhidmatan pos adalah industri intensif buruh dan kos yang membabitkan petugas merangkumi 61 peratus daripada perbelanjaan syarikat. Kami faham ini bukan satu isu ekonomi, tetapi ia isu moral, syarikat senarai awam seperti kami mempunyai tanggungjawab terhadap pemegang saham bagi mencatatkan keuntungan untuk membayar dividen," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90