1.8 juta pasport dijangka dikeluarkan tahun 2010


KUALA LUMPUR 26 Julai - Jabatan Imigresen dijangka mengeluarkan sehingga 1.8 juta pasport antarabangsa menjelang akhir tahun ini, iaitu peningkatan 50 peratus berbanding tahun lalu.

Peningkatan ketara itu ekoran tempoh memperolehnya kini lebih cepat iaitu hanya sejam selain kosnya hanya RM100 untuk pasport 32 muka surat dan tempoh sah dua tahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, sepanjang tahun lalu 1.2 juta pasport telah dikeluarkan jabatan itu.

Beliau berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pula, 913,440 pasport telah pun dipohon dan diluluskan.

"Sejak kerajaan memperkenalkan pasport 32 muka surat untuk tempoh sah dua tahun dengan bayaran RM100 pada Oktober lalu, permohonan pasport daripada orang ramai meningkat mendadak.

"Kami mungkin tidak dapat menurunkan harga pasport, tetapi kami boleh menawarkan kurang muka surat dan tempoh sah," katanya pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan di Pusat Bandar Damansara di sini hari ini.

Abdul Rahman memberitahu, beliau meletakkan sasaran itu kerana permohonan pasport daripada orang ramai pada masa ini menunjukkan peningkatan ketara.

Selain harga mampu milik, beliau percaya peningkatan efisiensi sistem penyampaian Jabatan Imigresen dengan memendekkan masa memproses pasport baru dari dua kepada satu jam pada Mei lalu, merupakan faktor meningkatnya permohonan pasport.

"Daripada 35 pejabat Jabatan Imigresen di seluruh negara, 28 atau 80 peratus mampu menyiapkannya dalam tempoh sejam selepas pemohon membuat bayaran.

"Antara kekangan yang kami hadapi adalah kekurangan mesin. Jika tidak, semua cawangan mampu memberi perkhidmatan yang sama.

"Saya percaya ini produk yang terbaik pernah ditawarkan kerajaan kepada rakyat sekali gus memenuhi permintaan mereka inginkan pasport pada harga mampu milik dan tempoh singkat," jelas beliau.

Ditanya sekiranya tempoh itu boleh menjejaskan aspek keselamatan, Abdul Rahman memberi jaminan pasport dikeluarkan selamat digunakan kerana sehingga kini pihaknya tidak pernah menerima aduan mengenainya di dalam mahupun luar negara.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url