Honda - Susur galur ikon automotif Jepun
SOICHIRO HONDA pada usia 15 tahun mungkin merupakan seorang pemimpi. Sama seperti remaja-remaja lain di seluruh dunia pada era apa pun. Mimpi yang bukan kosong. Mimpi yang tumbuh sebagai satu impian selepas itu matang bersama perjalanan masa. Honda seperti yang dicatatkan sejarah, selepas itu terus berjalan dan berlari.
Tetapi jalan yang ada ketika itu tidak elok. Tahun 1906 ketika dilahirkan, sehinggalah pada usia remaja, hidupnya memang tidak mudah. Dia agaknya selalu juga tersungkur, menelan air lumpur yang terpalit di muka. Apa yang menjadikan Honda lain daripada yang lain adalah kerana dia menikmati semua itu.
Setiap kali jatuh, dia akan bangkit dan kembali berjalan perlahan-lahan. Bermula di sebuah bengkel baik pulih kenderaan, Art Shokai Tokyo, dia mencuri ilmu, pengalaman dan keperihan yang dijadikan perisai untuk dirinya.
Honda kemudiannya membangun impian itu daripada debu dan bayang-bayang, sebelum melukisnya di atas kertas.
Impian itulah yang pada hari ini kita kenali dengan nama Honda. Satu jenama yang tidak pernah asing dalam khalayak peminat automotif seluruh dunia dan tidak terkecuali di Malaysia.
Bersama-samanya adalah sebuah perjalanan yang panjang. Bermula dengan angan-angan seorang individu hinggalah kepada sebuah gergasi automotif dunia.
Saya ingat tentang perjalanan dan pemerhatian peribadi ketika beberapa kali bertandang ke Jepun. Ada banyak perkara tentang masyarakat Jepun yang amat aneh dan membuatkan kita berasa rungsing. Terutama jika merenung dan membandingkannya dengan situasi dan amalan masyarakat kita sendiri.
Mereka sopan dan lemah lembut, tetapi tidak pasif. Mereka menghargai akal yang ada dan kerap berfikir untuk apa jua aspek kehidupan. Mungkin juga mereka memang tahu tentang apa yang perlu dilakukan untuk membangunkan bangsa sendiri, tanpa perlu retorik dan mencemuh.
Automatif Jepun
Kompleksiti dan kontradiksi ini walaupun tidak sah jika menganggap bahawa semua warga mereka mempunyai kualiti yang sama, ternyata menyediakan satu ruang untuk pembudayaan yang luar biasa kompetetif untuk dianuti masyarakatnya. Baik bagi golongan konservatif mahupun moden.
Ya, budaya. Satu perkataan dan abstrak realiti yang sukar difahami sekurang-kurangnya untuk khalayak kebanyakan serta dalam konteks masyarakat kita.
Justeru, perkara-perkara seperti yang dinyatakan tadi semestinya menjadi pemangkin yang sudah dibuktikan berjaya oleh Jepun.
Lihat sahaja industri automotifnya. Bukan hanya satu nama yang megah. Persaingan teknologi melangkau batas-batas jenama.
Mereka keluar dan berpencak di pentas yang lebih tinggi, bukan lagi di negara sendiri. Bertebar benih-benih genius bangsa Jepun ke merata ceruk. Pastinya Honda turut serta dalam perlumbaan berkenaan. Di samping beberapa lagi pembuat kenderaan seperti Toyota, Nissan, Mazda dan Suzuki sekadar menyebut beberapa nama.
Buku ini menyorot sebahagian daripada sejarah tersebut. Dalam nada ringkas, dua penulisnya berusaha untuk mengumpulkan maklumat-maklumat yang terpencar-pencar sebelum ini untuk dijilidkan. Mereka mencatat dan membawa pembaca mengingati kisah tersebut tanpa ada apa-apa ajakan untuk pemerhatian yang lebih intim dalam konteks sama.
Ia ditulis dalam bahasa Melayu dan menyasarkan pembaca dan pasaran di Malaysia. Sebabnya, jarang sekali wujudnya sebuah buku yang memberi perhatian kepada hal sebegini terbitan tempatan.
Apatah lagi mahu merakamkan perkembangan dunia automotif yang dihasilkan untuk dijual secara meluas dalam pasaran.
Perlu juga disebutkan bahawa buku Honda Civic: Ikon Produksi Massa adalah sebuah catatan yang sebetulnya merupakan dedikasi khusus kepada model yang disifatkan sebagai antara model kereta penumpang paling popular pernah dihasilkan Honda.
Tentunya kita dapat mengagak intipati kandungannya. Ia menyorot kembali perkembangan jenama yang diadun bersama peralihan dan evolusi model Civic.
Ia mencatatkan perjalanan model Civic merentasi masa dan memperlihatkan ia memprojeksi imaginasi pasaran dengan rekaan-rekaan dan inovasi teknologi yang pada tahap tersendiri dilihat begitu agresif.
Tentu sekali buku itu akan menjadi dambaan peminat-peminat tegar model Honda Civic di Malaysia. Ia boleh saja menjadi collector's item kepada kaki-kaki kereta dan fanatik Honda.
Disebabkan belum ada terbitan yang benar-benar mencuri tumpuan sebelumnya, tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa buku itu boleh dijadikan sumber rujukan paling ideal tentang konteksnya yang didokumentasikan dalam bahasa Melayu.
Turut disertakan di dalamnya ialah maklumat-maklumat dan foto-foto klasik sejarah perkembangan Honda yang ada antaranya disediakan sendiri oleh Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB) iaitu pengedar jenama berkenaan di Malaysia.
Kepada yang berminat untuk mendapatkannya, ia sudah pun berada di toko-toko buku utama di seluruh negara termasuklah di Borders. Sebagai alternatif, penerbitnya boleh juga dihubungi menerusi laman web www.geartinggi.com atau e-mel ke geartinggimedia@gmail.com
- KOSMO!