Nyamuk Aedes bijak jerat mangsa
Demam denggi yang berpunca daripada gigitan seekor nyamuk kecil, Aedes aegypti lazimnya berlaku di kawasan tropika dan separa tropika. Gigitan yang tidak seberapa itu mampu berkembang menjadi lebih serius.
Hampir dua juta kanak-kanak daripada 230 juta orang yang terkena denggi menderita demam denggi berdarah. Di Asia Tenggara, demam denggi berdarah menjadi antara punca utama kemasukan wad.
Malah, penularan penyakit denggi telah meningkat di serata Asia Pasifik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menunjukkan peningkatan sebanyak tiga kali ganda.
Di Malaysia, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan sejumlah 23,189 kes denggi dengan 78 kematian.
Sindrom kejutan denggi dan demam denggi berdarah sahaja telah meragut lebih jutaan nyawa di serata dunia. Namun, di sebalik keseriusan penyakit itu apakah teknik pengasapan (fogging) telah melahirkan generasi vektor nyamuk yang lebih bijak dan kebal asap?
Unit Penyelidikan dan Kawalan Vektor (VCRU), Universiti Sains Malaysia (USM) yang dihubungi Kosmo! berkata, vektor daripada populasi Aedes itu tidak menunjukkan sebarang kekebalan. Hasil itu diperoleh ketika ujian menggunakan kit ujian WHO dijalankan ke atas ubat penyembur antara lain seperti ermethrin, deltamehrin, lambdacyhalothrin dan etofenprox.
Tetapi, nisbah kekebalan menunjukkan sedikit peningkatan memandangkan penggunaan ubat semburan boleh memberi tekanan kepada populasi nyamuk itu. Biarpun aktiviti pengasapan dijalankan antara seminggu hingga tiga minggu setiap kali ada kes melaporkan usaha itu dihentikan selama beberapa bulan apabila kes telah reda.
Penyemburan asap
"Maknanya sesuatu populasi nyamuk tidak akan kebal melainkan penyemburan asap dilakukan untuk tiga generasi bagi populasi nyamuk tertentu selama berbulan-bulan," jelas VCRU dalam jawapan menerusi e-mel.
Pembentukan telur nyamuk dewasa yang hanya mengambil masa enam hingga lapan hari bermakna kaedah terbaik untuk mengurangkan populasinya ialah menerusi pembasmian sumber pembiakan nyamuk.
VCRU mendapati, evolusi perkembangan secara tidak langsung telah membentuk kelompok nyamuk spesies Aedes aegypti yang cenderung hidup berdekatan dengan manusia atau di dalam rumah. Hakikatnya, kelompok serangga itu merupakan nyamuk urban yang lebih menggemari kehidupan di kota berbanding pinggir bandar.
Mudah dikenali dengan jaluran hitam putih pada kaki-kakinya, kedua-dua nyamuk jantan dan betina itu turut terkenal dengan jolokan Harimau Asia. Pada asasnya, nyamuk-nyamuk itu memiliki ukuran sepanjang dua hingga sepuluh milimeter (mm) dengan purata panjang abdomen sekitar 2.63 mm. Saiz nyamuk jantan adalah jauh lebih kecil berbanding nyamuk betina. Satu petanda fizikal untuk membezakan nyamuk jantan dan betina dapat dilihat pada bulu antena nyamuk jantan yang lazimnya lebih lebat.
Malah, jangan terkejut jika nyamuk aedes aegypti ini dikelaskan sebagai antara spesies bijak berbanding sepupu-sepupu nyamuk yang lain. Sebabnya, para saintis melihat spesies nyamuk itu bijak menjerat mangsa dengan bunyi desingan sayapnya yang kurang kuat selain pantas menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran.
Nyamuk Aedes aegypti juga didapati amat menggemari bahagian buku lali manusia. Lokasi itulah yang dirasakan sesuai untuk melabuhkan satu gigitan maut.
Bagi meningkatkan peningkatan masyarakat dalam aktiviti pencegahan demam denggi, KKM telah menjalankan sejumlah 1,598 aktiviti ceramah dan sebanyak 2,115,459 keping risalah diedarkan di seluruh negara. Malangnya, tahap kesedaran dan usaha orang ramai masih kurang memuaskan memandangkan hanya 13 peratus aktiviti gotong-royong dicatatkan daripada sejumlah 6,682 aktiviti yang disasarkan di seluruh negara.
Justeru, pengacara terkemuka, Aznil Nawawi turut dilantik menjadi ikon antidenggi oleh KKM bagi mempromosikan kempen Jom Ganyang Aedes.
Gigitan kedua lebih bahaya
Rebecca Saw tidak pernah suka pada doktor. Bukan sebab takut pada ubat ataupun jarum, tetapi wanita berusia 29 tahun itu menganggap berjumpa dengan doktor itu satu perkara yang membazir masa. Persepsi itu bagaimanapun berubah selepas dia pengsan di jalan raya pada suatu hari.
Waktu itu, demam panas yang berlarutan sejak seminggu lalu masih belum reda dan dia juga terasa pening. Lalu, kenderaan yang dipandu diberhentikan serta-merta di bahu jalan. Belum sempat dia berbuat apa-apa, sekujur tubuh lemah itu terus 'koma' seketika.
"Apabila sedar semula, saya dapati rupa-rupanya saya pengsan di dalam kereta dengan enjinnya masih hidup. Tak dapat saya bayangkan akibatnya kalau saya pengsan sewaktu memandu," ceritanya dalam satu majlis pelancaran kempen 1Malaysia Bersama Kita Menghapuskan Denggi, tidak lama dahulu.
Tanpa melengahkan masa, anak kelahiran Pulau Pinang itu terus memandu ke sebuah klinik terdekat. Tindakan ternyata tidak silap.
Sebabnya, demam panas yang nyaris-nyaris meragut nyawanya di tengah jalan akhirnya disahkan sebagai demam denggi. Rebecca terpaksa dimasukkan ke wad selama seminggu.
Insiden tersebut sesungguhnya cukup terkesan dalam ingatan Rebecca. Lebih-lebih lagi kesakitan yang perlu dilalui oleh pesakit demam denggi sepertinya sangat menyeksa minda dan fizikal. Malah, ia sukar untuk diterjemahkan dalam kata-kata.
Senario ini bagaimanapun cukup difahami oleh Suzanne Selvarajah, 35 tahun. Tidak mungkin lupa akan episod pahit bergelut dengan demam denggi, wanita ini sebenarnya bertuah kerana terselamat daripada maut kali kedua akibat demam denggi. Kali pertama bergelar mangsa denggi kira-kira sedekad yang lalu, dia baru berusia 26 tahun.
"Masa itu, selama tiga hari berturut-turut saya demam panas. Jadi, saya bergegas untuk berjumpa dengan doktor dan digesa menjalani ujian darah. Barulah saya sedar amaun platelet darah sudah berada di bawah 100 dan saya terpaksa dimasukkan ke wad," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Sejujurnya seperti kebanyakan orang, Suzanne langsung tidak menduga demam denggi boleh menjadi begitu serius. Selain memerlukan perhatian perubatan penuh, dia turut 'bergelut' dengan rasa sakit pada serata tubuh dalam tempoh empat hari dia dimasukkan ke wad.
Setelah pulih, jauh daripada jangkaannya dia akan diserang insiden sama buat kali kedua. Demam panas yang menyerangnya pada pembuka tirai tahun 2008 itu jauh lebih 'mendidih' suhunya sehinggakan Suzanne terpaksa bergolek-golek di atas lantai marmar berkali-kali.
Panas
"Saya baring di atas lantai untuk menyejukkan badan. Setiap kali bahagian yang dibaring menjadi panas, saya akan bertukar tempat dan keadaan itu berulang banyak kali," ujarnya berterus-terang.
Malah, demi untuk membuang 'panas' badan itu, pelbagai petua lama dan moden turut dicuba oleh Suzanne termasuk nasihat mendiang ibu mertuanya yang mencadangkan agar dia 'mengewap' tubuh ala sauna. Malangnya segala usaha itu sia-sia.
Sebabnya, situasi kali ini nyata tidak semudah serangan kali pertama. Lebih memburukkan keadaan, dia disahkan mendapat sejenis demam denggi yang lain daripada empat kategori denggi sedia ada. Di hospital kerajaan tempat Suzanne menerima rawatan kecemasan, bilangan platelet darahnya kian menurun. Daripada sejumlah 42 platelet, bilangan itu menjunam kepada 36.
"Darah mulai mengalir keluar dari kedua-dua belah telinga saya. Keadaan menjadi sangat kritikal dan doktor terpaksa memberikan plasma beku segar secara intravena," tambahnya.
Tetapi usaha itu diberhentikan apabila seluruh tubuh Suzanne dipenuhi dengan tompok-tompok besar berwarna merah. Dia juga diserang sawan. Bagi mengawal suhu badannya, Suzanne diletakkan di bawah aliran air.
Pada peringkat itu, jumlah platelet darahnya telah mencecah 28 - satu keadaan yang sangat meruncing hingga mengakibatkan dia berada dalam tahap kejutan kritikal (DSS).
"Bayangkan, setiap kali saya berpusing, ada kesan darah di atas bantal. Hanya selepas saya menyentuh mata, baru tahu ada air mata berdarah. Rasa seperti mayat yang disumbatkan kapas pada semua rongga wajah kerana mata, telinga dan hidung, semuanya berdarah," jelasnya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu.
Belum cukup dengan penyeksaan itu, anak kelahiran Melaka itu turut mengalami kesakitan tulang yang serius. Menyifatkan rasa sakit itu seakan-akan tulang yang dipulas kuat, dia hanya mampu bertahan dengan curahan air mata setiap hari. Trauma berada di wad sekitar 16 hari bagi Suzanne akhirnya sampai ke penghujung apabila dia ditempatkan di dalam sebuah kotak yang berisi air sejuk.
Meningkat
Kini, selepas hampir dua tahun terlepas daripada ambang maut denggi buat kali kedua, Suzanne sedar dia sememang sangat bernasib baik. Tetapi menerusi tindakan pantas dan pengetahuan yang betul tentang demam denggi, sesiapa sahaja boleh mengelak daripada gigitan nyamuk Aedes.
"Mencegah denggi sebenarnya tidak sukar. Sesiapa pun boleh melakukannya dan semua ini hanya memakan masa 10 minit seminggu," tambahnya sambil memberitahu kini, senarai barangan runcitnya termasuk dua botol penyembur aerosol.
Kempen 1Malaysia Bersama Kita Menghapuskan Denggi yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin, itu merupakan anjuran bersama pengeluar jenama produk kawalan serangga terkemuka, Reckitt Benckiser bersama Kementerian Kesihatan Malaysia. Datuk Rosnah yang melahirkan rasa bimbang terhadap bilangan kes denggi yang meningkat turut menggesa orang ramai agar datang ke hospital untuk diagnosis awal.
"Denggi tidak memilih mangsanya dan sebab itulah semua orang perlu bertanggungjawab untuk bertindak membanterasnya bagi memastikan keluarga serta persekitaran kediaman kita bebas daripada penyakit maut ini," tambahnya.
Dalam konteks dunia, sekitar 50 juta hingga 100 juta orang menderita akibat denggi. Di Malaysia pula, statistik menunjukkan bilangan kes denggi turut meningkat. Pada tahun 2006, Malaysia merekodkan sejumlah 30,285 kes denggi dengan 49 kematian dan angka tersebut meningkatkan kepada 48, 846 pada tahun berikutnya. Angka kematian juga bertambah kepada 98 dengan sejumlah 49,335 kes pada tahun 2008.
Perunding kesihatan dari Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur, Dr. Mat Rifin Jusoh pula berkata, adalah mustahak seseorang mangsa denggi untuk melindungi diri daripada serangan kali kedua. Demam denggi yang terdiri daripada Denggi Jenis 1, 2, 3 dan 4 biasanya mendominasi pada musim-musim berbeza. Kitaran denggi dikatakan hadir pada setiap lapan atau 40 tahun.
"Lazimnya, sekitar lima hari selepas gigitan nyamuk, mangsa akan mula mendapat demam panas dengan perkembangan segala bentuk jangkitan denggi. Sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit belakang dan perubahan darah adalah petanda klasik demam denggi," katanya.
Demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa berbeza. Pada fasa pertama atau fasa febril (hari pertama hingga hari ketujuh), mangsa turut mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit seluruh badan.
Masuk fasa kedua atau fasa kritikal (hari ketiga hingga hari ketujuh), demam awal bagi sesetengah pesakit mungkin telah reda. Namun, dalam segelintir kes serius, kebocoran kapilari darah akan berlaku dalam jangka masa pendek.
Dr. Mat Rifin berkata, kebanyakan mangsa menyangka diri mereka kebal selepas serangan demam denggi kali pertama. Hakikatnya, hampir 90 peratus kes jangkitan sekunder berlaku kepada mereka yang pernah mendapat denggi sebelum ini. Sebabnya imunisasi tidak hadir untuk semua jenis denggi.
"Oleh itu, penting untuk mangsa denggi hadir untuk diagnosis awal agar rawatan bersesuaian boleh diberikan segera. Biasanya pergantungan kepada cecair intravena hanya untuk memperbetulkan dehidrasi tubuh selain kebanyakan simptom lain," tambahnya sambil menjelaskan bahawa penambahan produk darah mungkin diperlukan dalam kes-kes serius.
- KOSMO!